LONDON, Pemain Liverpool, Mohamed Salah mengkritik Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) kerana memuat hantaran memberi penghormatan kepada ‘Pele Palestin’, Suleiman al-Obeid tanpa menyatakan bekas pemain antarabangsa itu meniggal dunia akibat tembakan tentera Israel di Jalur Gaza.
Obeid, 41, terbunuh pada Rabu lalu apabila tentera Israel menyasarkan penduduk yang menunggu bantuan kemanusiaan di selatan Jalur Gaza, menurut kenyataan Persatuan Bolaseopak Palestin (PFA).
Badan kawal selia bola sepak Eropah itu membuat hantaran di platform X berbunyi: “Selamat tinggal kepada Suleiman al-Obeid, ‘Pele Palestin’. Bakat yang memberi harapan kepada ramai kanak-kanak, walaupun dalam masa yang paling gelap’.
Penyerang warga Mesir itu membalas dengan melakukan hantaran berbunyi: “Boleh anda beritahu kami bagaimana beliau meninggal dunia, di mana dan kenapa?”
Dilahirkan di bandar Gaza, Obeid yang telah berkahwin mempunyai lima orang cahaya mata. Beliau tampil sebanyak 24 perlawanan antarabangsa untuk pasukan Palestin.
Pada Oktober 2023, Salah menggesa pemimpin dunia bersatu untuk membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza bagi menghalang pembunuhan secara berterusan nyawa yang tidak berdosa.
Sejak permulaan serangan Israel ke atas Gaza, seramai 662 penduduk Palestin yang terlibat dalam sukan terbunuh termasuk 321 orang terlibat dengan bola sepak, menurut PFA.
Salah yang merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris pada musim lalu dijangka diturunkan apabila Liverpool berdepan Crystal Palace pada perlawanan Community Shield di Stadium Wembley hari ini. – AFP
















