Keadaan bas kilang yang terbabas di selekoh berbukit di Jalan Paya Terubong, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Enam pekerja kilang warga Indonesia cedera manakala 24 lagi selamat selepas bas dinaiki mereka terbabas di selekoh jalan berbukit di Jalan Paya Terubong, di sini, hari ini.

Mangsa cedera dikenali sebagai Sonia, 22, Rosnani Silitonga, 23, Rohana, 26 manakala tiga mangsa masing-masing beusia 25 tahun Isanur, Laila Meisi, Marian.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.24 pagi itu, bas dilaporkan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Kampung Jawa menghala ke Paya Terubong sebelum dipercayai mengalami masalah sistem brek dan terbabas.

Kesemua mangsa cedera diserahkan kepada pihak ambulans KKM untuk tindakan lanjut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, sebaik tiba pada jam 7.34 pagi, pihaknya mendapati terdapat 30 mangsa termasuk pemandu di dalam bas berkenaan.

“Kerja-kerja penyelamatan dilakukan untuk mengeluarkan semua mangsa yang terlibat.

“Enam mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian muka, tangan dan kaki manakala 24 lagi selamat.

“Kesemua mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah beliau, operasi penyelamatan diketuai PBK II Mohamad Syafizani Mohd Rosli dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong dengan kekuatan lapan anggota dan bantuan polis serta KKM.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.27 pagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast