KUALA LUMPUR – Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Fadil Marsus bertekad akan berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai visi dan misi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, beliau menerima amanah dan tanggungjawab sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur dengan tekad memastikan pasukan berada pada tahap terbaik.
“Peranan saya bersama timbalan dan semua warga Polis Kuala Lumpur, insya-Allah akan ‘all out’ untuk pencapaian visi dan misi Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pasukan akan bergerak aktif bersama dengan seluruh masyarakat.
“Kerjasama antara polis dan masyarakat amat diharapkan bagi memastikan keberhasilan di Kuala Lumpur, selain memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan teratur,” katanya pada sidang media selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Tambahnya, pihaknya akan melaksanakan sebaik mungkin dengan mengoptimumkan semua sumber ke arah pencapaian positif.
“Pengalaman luas dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan dimanfaatkan untuk menangani cabaran keselamatan di ibu kota bersama barisan kepimpinan IPK Kuala Lumpur.
“Dengan pengalaman yang ada dalam JSJ bersama timbalan serta ketua jabatan, kita akan cuba atasi semua cabaran ini dan laksanakan sebaik mungkin,” katanya.
Terdahulu, Fadil yang merupakan Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerima tugas sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu.
Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa.
Sebelum ini jawatan tersebut dipangku Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad.
Majlis serah terima tugas itu dimulakan dengan upacara pemakaian pangkat, menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas antara Fadil dan Mohamed Usuf. – MalaysiaGazette
















