Anuar.

GEORGE TOWN – Polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung insiden tular pekerja kedai perkakasan memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik kepada Pejabat Pendakwa Raya hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, siasatan telah selesai dan pihaknya kini menunggu arahan seterusnya daripada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

“Seramai 10 individu termasuk pemilik kedai berusia 59 tahun diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun pemilik kedai yang ditahan pada Sabtu lalu dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Ketua Polis Pulau Pinang baharu, Datuk Azizee Ismail di Mes Pegawai Kanan Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Semalam, Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin memaklumkan pihaknya menerima 16 laporan berhubung kejadian, termasuk 12 laporan di Pulau Pinang dan empat lagi dari luar negeri itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya .

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video berdurasi 21 saat memaparkan seorang lelaki mengibarkan Jalur Gemilang pada sebatang besi dalam keadaan terbalik, manakala seorang lagi merakam kejadian itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast