RAUB – Kemajuan Projek Wagyu Pahang semakin memberangsangkan apabila jumlah populasi lembu Wagyu meningkat kepada 317 ekor dalam tempoh tiga tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata projek berkenaan selaras dengan Aspirasi Pahang 1st, sekali gus membuktikan bahawa projek pembangunan berimpak tinggi itu mampu memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Saya amat kagum melihat kemajuan projek ini sejak majlis pecah tanah pada tahun 2022, khususnya peningkatan populasi lembu Wagyu yang begitu memberangsangkan.
”Bermula dengan hanya 161 ekor pada tahun 2023, kini jumlahnya telah mencecah 317 ekor, hasil daripada kerjasama erat antara syarikat, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika dihubungi selepas melawat Ladang Ternakan Ruminan Syarikat AGK Dairy Fresh Sdn Bhd di Bukit Kajang, di sini hari ini.
Menurutnya Projek Wagyu Pahang yang diusahakan ini bukanlah projek kayangan, sebaliknya merupakan strategi berimpak tinggi untuk mengangkat penternak tempatan kepada penghasilan baka premium bernilai tinggi.
”Sasaran kita bukan sahaja menembusi pasaran tempatan, tetapi juga pasaran antarabangsa, khususnya negara-negara Islam, dengan kelebihan pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf dunia,” tambahnya.
Beliau berharap projek penternakan ini menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi luar bandar, membuka peluang pekerjaan baharu, menggalakkan penglibatan belia dan usahawan tempatan dalam industri ternakan berteknologi tinggi.
Selain itu projek tersebut diharap dapat menjadikan Pahang sebagai peneraju pengeluaran daging premium halal bertaraf dunia.
Tambahnya dengan komitmen padu semua pihak, Projek Wagyu Pahang akan menjadi satu lagi ikon kejayaan negeri ini dalam sektor agromakanan.
Ia sekali gus memberi sumbangan besar kepada kemakmuran rakyat dan kelestarian ekonomi negeri Pahang. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
Pahang rancang projek tenusu, lembu wagyu, ikan siakap di Australia
Pahang buat projek ternak kerbau tenusu, lembu wagyu secara komersial – MB
















