Shazeli Kahar

SEPANG – Tiada bukti setakat ini yang mengaitkan kejadian rompakan rumah seorang saksi utama dalam kes rasuah yang melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kes itu kekal diklasifikasikan sebagai insiden jenayah.

“Setakat ini pihak siasatan awal tidak dapat dikaitkan dengan kes perbicaraan, pihak polis masih lagi berpegang kepada kejadian jenayah,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media kejayaan tangkapan dan rampasan kes rokok tidak bercukai di Ibu Pejabat Polis Balai Daerah (IPD) Sepang, hari ini.

Dalam pada itu, Shazeli berkata sejumlah 16 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut dan setakat ini tiada tangkapan dilakukan.

“Kalau mengikut laporan dan siasatan, ada kehilangan barang-barang berharga,” katanya.

Minggu lalu, media melaporkan mangsa memaklumkan nilai barangan yang dilarikan dalam kejadian itu dianggarkan sekurang-kurangnya RM300,000.

Polis juga sedang mengumpul rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah mangsa dan kawasan sekitarnya.

Pada 7 Ogos lalu, dalam sidang media di kediamannya, ahli perniagaan, G Gnanaraja mendakwa beliau menjadi mangsa serangan bersenjata oleh sekumpulan individu yang memberi amaran semalam supaya tidak lagi memberi keterangan di mahkamah.

Gnanaraja berkata, kira-kira 10 lelaki bersenjatakan parang yang memecah masuk ke kediamannya kira-kira jam 6.30 pagi, mengikat dan menyerangnya dan memberi amaran berulang kali agar beliau tidak memberi keterangan di mahkamah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast