Hafiz Ariffin

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyambut baik tindakan pihak polis yang telah menahan individu terlibat dalam insiden memasang Jalur Gemilang secara terbalik di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin dalam satu kenyataan hari ini berkata, bagi menghormati perkara itu, Pemuda UMNO mengambil keputusan menangguhkan himpunan berkenaan.

“Sehubungan dengan itu, bagi menghormati proses dan tindakan undang-undang yang telah diambil, Himpunan Maruah Tanah Airku, ditangguhkan,” katanya.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin sebelum ini mengesahkan bahawa individu berkenaan ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Dalam pada itu, Hafiz menegaskan, pihaknya menafikan mesej permohonan maaf penangguhan himpunan seperti yang tersebar di media, kerana ia bukan kenyataan rasmi daripada Pemuda UMNO Malaysia.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tetap tegas dan berpegang teguh kepada keputusan yang dibuat terhadap isu ini tanpa sebarang rasa apologetik,” katanya.

Himpunan Maruah Tanah Airku dijadualkan berlangsung di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini dengan tujuan menghimpunkan ahli dan penyokong parti sebagai solidariti mempertahankan maruah negara, khususnya melibatkan penghinaan terhadap Jalur Gemilang.

Isu bendera terbalik itu mencetuskan perhatian ramai selepas gambar pemasangan Jalur Gemilang di sebuah sekolah di Pulau Pinang dalam keadaan terbalik tular di media sosial, sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen dan kecaman pemimpin politik.

Insiden itu turut mendapat perhatian Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh yang mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab, kerana menganggap ia satu penghinaan terhadap simbol kedaulatan negara.

Polis Pulau Pinang sebelum ini memaklumkan, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan memastikan tindakan sewajarnya diambil mengikut peruntukan undang-undang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast