Pihak polis termasuk pasukan LSF dilihat melakukan pemantauan berhampiran kedai perkakasan yang tular memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di Bertam, Pulau Pinang.

 

KEPALA BATAS – Polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (LSF) tetap melakukan pemantauan di kawasan Bertam, di sini, hari ini meskipun penganjuran ‘Himpunan Maruah Tanah Airku’ bagi membantah tindakan pemilik premis yang mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik dibatalkan.

Tinjauan di lokasi mendapati anggota polis berada di sekitar kawasan bagi membuat pemantauan, manakala kedai perkakasan yang tular sebelum ini turut ditutup sepenuhnya.

Mengulas penganjuran tersebut, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai perancangan acara itu, namun telah menasihatkan agar ia tidak diteruskan.

Anuar Abd Rahman

 

“Kita menasihatkan pihak terlibat supaya tidak menganjurkan acara tersebut bagi mengelak kegusaran dan ketenteraman awam,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan siasatan berhubung insiden tersebut.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh berkata, pihaknya menangguhkan rancangan untuk “mendidik” pemilik kedai berkenaan mengenai cara mempamerkan Jalur Gemilang selepas polis menahan seorang lelaki berhubung kes tersebut.

“Disebabkan polis telah menangkap dan lelaki yang kibar bendera Malaysia terbalik ini akan didakwa esok, maka kami memberikan ruang seluasnya pada pihak pendakwa untuk menjalankan proses undang-undang. Maka kelas untuk mengajar pasang bendera kepadanya esok akan ditangguhkan,” katanya.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung insiden tular pekerja kedai perkakasan memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik kepada Pejabat Pendakwa Raya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, siasatan telah selesai dan pihaknya kini menunggu arahan seterusnya daripada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

“Seramai 10 individu termasuk pemilik kedai berusia 59 tahun diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Manakala pemilik kedai yang ditahan pada Sabtu lalu dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast