KUALA LUMPUR – Polis memohon bantuan orang ramai bagi mengesan waris seorang lelaki tempatan yang ditemui meninggal dunia di Lorong Pejalan Kaki, Jalan Tukang Besi, Sibu, Sarawak, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, penemuan mayat itu dimaklumkan kepada Balai Polis Pusat Sibu pada jam 3.43 petang hasil panggilan orang awam.
“Hasil siasatan mendapati si mati dipercayai berbangsa Iban, berusia lewat 60-an, dan dikenali dengan nama panggilan ‘Uching Besi’.
“Simati merupakan seorang gelandangan yang pernah didaftarkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat serta mempunyai sejarah penyakit mental,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis kini sedang berusaha mengesan waris mangsa dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Ketua Polis Balai Pusat Sibu, ASP Binsin Lunjong di talian 017-8025675. – MalaysiaGazette
















