BUKIT MERTAJAM – Bayi lelaki pramatang memerlukan sumbangan orang ramai berjumlah RM70,000 untuk menjalani pembedahan jantung segera.
S. Jagatheesh dari Padang Serai, Kedah disahkan menghidap kecacatan jantung yang serius sejak dilahirkan pada 11 Julai lalu.
Ibunya, S. Mariamah, 37, berkata, sejak hari pertama kelahiran Jagatheesh, dia yang dilahirkan semasa usia kandungan 34 minggu terpaksa diletakkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dengan bantuan tiub pernafasan dan oksigen.
Katanya, doktor memaklumkan bayi itu mengalami masalah pertukaran kedudukan jantung di sebelah kanan (Dextrocardia), saluran darah sempit dan terkalir, jantung berlubang dan sebagainya.
“Disebabkan tahap oksigen yang rendah, anak saya perlu bergantung kepada ubat-ubatan dan bantuan oksigen.
“Namun, doktor memaklumkan ubat tidak dapat menahan keadaannya terlalu lama dan bayi perlu dibedah secepat mungkin untuk menyelamatkan nyawanya,” kata Mariamah yang menghidap kencing manis dan hipertiroid semasa hamil.
Suri rumah itu berkata, dia dan suami, G. Saravanan, 47, terpaksa merayu bantuan orang ramai bagi menampung kos pembedahan sebanyak RM70,000 kerana tidak berkemampuan.
Sementara itu, pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya akan membantu keluarga itu bagi mengumpul dana selepas menerima permohonan mereka, kerana keadaan terdesak, pembedahan telah dijadualkan semalam.
“Bapa bayi yang sebelum ini bekerja sebagai operator kilang selama 25 tahun telah hilang pekerjaan pada Julai lalu selepas kilang ditutup.
“Pada Ogos, dia mendapat kerja baharu sebagai operator, namun dengan gaji minimum iaitu RM1700 sahaja.”
“Pasangan itu mempunyai dua lagi anak lelaki berusia 6 dan 5 tahun yang kedua-duanya juga lahir pramatang dan memerlukan perhatian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3201428817).
Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi laman web rasmi www.onehopecharity.org. Bagi pertanyaan lanjut, sila hubungi talian hotline 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192 atau 018-911 4192. – MalaysiaGazette
















