KUALA LUMPUR – Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) melancarkan PKBM BIM Satellite Center, pusat latihan berteknologi tinggi bagi melahirkan kontraktor mahir dalam penggunaan teknologi Building Information Modeling (BIM).
Pusat latihan itu merupakan hasil kerjasama strategik antara PKBM dan CIDB-E Konstruksen Merahat bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan serta produktiviti projek pembinaan, sekali gus mengurangkan pembaziran bahan binaan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, teknologi BIM kini menjadi asas kepada projek bernilai RM10 juta ke atas dan penting untuk diaplikasikan dalam setiap fasa pembinaan, bermula daripada perancangan, reka bentuk sehingga penyelenggaraan.
“Melalui PKBM BIM Satellite Center, para kontraktor akan dibimbing dan dilatih secara menyeluruh untuk mengaplikasikan BIM dalam projek mereka.
“Pendekatan ini akan mempercepatkan tempoh siap projek, mengurangkan kos keseluruhan dan menyokong transformasi digital industri pembinaan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PKBM Kali Ke-6 di WTC Kuala Lumpur, malam ini.
Dalam pada itu, kerajaan turut mengumumkan beberapa inisiatif baharu bagi memperkukuh peluang kontraktor kecil, termasuk membenarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan perolehan sehingga RM1 juta melalui sebut harga atau cabutan undi dalam kalangan kontraktor G1 hingga G3.
Had sebut harga bagi kerja penyenggaraan dan pembaikan juga dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta, manakala had harga cabutan undi meningkat daripada RM100,000 kepada RM200,000.
Selain itu, RM1.3 bilion turut diperuntukkan untuk memperkasakan kontraktor G1 hingga G4, khususnya Bumiputera.
Manakala RM200 juta disediakan di bawah Skim Pembiayaan Kontrak Berjangka Nasional II (CAPNA II) untuk menyokong aliran tunai projek berskala kecil bernilai sehingga RM1.5 juta.
Amir Hamzah turut menyatakan komitmen untuk meneliti cadangan yang dikemukakan PKBM serta menggesa pemain industri memberi sokongan kepada usaha kerajaan merancakkan ekonomi dan pembangunan negara.
“Mesyuarat agung tahunan ini wajar dijadikan wadah bertukar pandangan, mengeratkan jaringan dan memperkukuh hala tuju industri.
“Apa yang baik dan terbukti berjaya harus diteruskan, manakala penambahbaikan perlu dilakukan secara berterusan,” katanya. – MalaysiaGazette















