Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah berucap pada program “Gempa Bumi” iaitu sebuah acara permotoran sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke 68 tahun di Route 77 Harley-Davidson of Kuala Lumpur, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Arman Azha Abu Hanifah menyifatkan laporan bedah siasat Zara Qairina Mahathir yang dikatakan akan mengambil masa sehingga dua bulan adalah terlalu lama.

Menurutnya, beliau menghormati proses siasatan dan undang-undang yang sedang berjalan, namun kes itu sudah menjadi perhatian negara.

Sehubungan itu, ujarnya, laporan bedah siasat dan siasatan kes tersebut perlu diberikan keutamaan supaya jawapan dapat segera dicari dan suspek atau pelaku dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.

Tambahnya, ia juga bagi mengelakkan rakyat terus membuat persepsi sendiri seperti mendakwa wujud konspirasi tertentu untuk menutup kebenaran kes itu.

“Ini tidak bagus bagi perpaduan dalam negara kita dan boleh menjadi penyebab kemarahan rakyat yang saya risau di luar kawalan pihak berkuasa.

“Ketulusan perlu ada dalam proses penyiasatan kes ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Proses bedah siasat jenazah Zara Qairina Mahathir  selesai dijalankan  Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu lalu.

Proses bedah siasat itu dilakukan semula selepas kubur Allahyarham digali semula seperti diarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya siasatan berhubung punca kematian mangsa dijalankan semula.

Menurut peguam, Shahlan Jufri yang turut menyaksikan proses itu seperti dilaporkan media, tempoh laporan bedah siasat tersebut untuk disiapkan tidak dapat ditentukan dengan tepat, namun paling lewat boleh sampai dua bulan.

Zara Qairina sebelum ini dilapor meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Kinarut pada 16 Julai lalu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast