KUALA LUMPUR – Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di bawah kendalian Pas merupakan sukarelawan, bukannya pekerja bergaji tetap.
Malah, menurut Pengarah Jabatan PASTI Melaka, Mohd Norfaizal Nordin, istilah yang digunakan berkenaan bayaran kepada mereka juga adalah elaun, bukan gaji sebagai tanda penghargaan atas masa, ilmu dan tenaga yang dicurahkan.
Tambahnya, motivasi utama guru PASTI bukan keuntungan kewangan tetapi keikhlasan dan semangat tarbiah untuk mendidik anak-anak PASTI menjadi insan yang berakhlak mulia berlandaskan al-Quran dan sunah.
Selain itu, ujar beliau, guru PASTI juga bukan sekadar mengajar akademik, malah mendidik adab, akhlak dan iman sejak usia kecil serta membentuk asas tauhid memperkenalkan al-Quran, mengajar solat dan menanam nilai murni yang akan menjadi bekalan hidup anak-anak di masa depan.
Tegasnya, peranan guru PASTI tidak dapat diukur dengan wang ringgit kerana mereka adalah pendidik ummah yang memikul amanah besar untuk melahirkan generasi rabbani.
“Mengukur peranan guru PASTI semata-mata dari sudut material adalah satu kekhilafan yang mengabaikan nilai dakwah, pengorbanan dan jihad pendidikan yang mereka bawa,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kadar gaji guru PASTI yang dibayar antara RM600 hingga RM700 sebulan bukan sahaja tidak menepati perintah gaji minimum, malah turut melanggar Akta Majlis Perundingan Gaji Negara.
Ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, Nik Nazmi meminta perkara itu diberi perhatian mengambil kira banyak aduan daripada guru yang mengajar di PASTI.
Sementara itu, Mohd Norfaizal menggesa Nik Nazmi melakukan penyelidikan terlebih dahulu berkenaan situasi guru PASTI sebelum membuat sebarang kenyataan.
Katanya, ia supaya semua pihak dapat mengetahui dan menghargai jasa guru PASTI dan menuntut keadilan kepada mereka bukan hanya melalui ukuran elaun, tetapi dengan mengiktiraf sumbangan besar mereka dalam membina tamadun ummah. – MalaysiaGazette
















