Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mencadangkan supaya kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan kuasa budi bicara Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau juga mencadangkan supaya hak tafsiran undang-undang berkaitan penentuan status kekosongan kerusi Parlimen dan DUN dikembalikan kepada mahkamah.

Takiyuddin mengemukakan cadangan tersebut dengan merujuk kepada keputusan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul mengenai status enam Ahli Parlimen yang dipecat oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, masih mewakili pembangkang sekali gus menyaksikan mereka kekal sebagai wakil rakyat.

“Jadi, untuk keluar daripada segala kecelaruan tentang tafsiran Perkara 49(a) Perlembagaan Persekutuan, saya ingin mencadangkan agar kerajaan hari ini, atau kerajaan akan datang jika ada perubahan selepas ini, segera membuat pindaan kepada perkara tersebut.

“Sebagaimana mahkamah diberi kuasa untuk memutuskan isu-isu melibatkan proses dan keputusan pilihan raya, iaitu melalui petisyen pilihan raya melalui Mahkamah Pilihan Raya,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berpendirian pindaan tersebut akan dapat menyelesaikan kekeliruan dan ketidaktentuan dalam tafsiran undang-undang berkaitan status dan kedudukan wakil rakyat yang beralih sokongan.

Takiyuddin mendakwa, kegagalan Speaker mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri menggunakan tafsiran undang-undang adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan khususnya berkaitan anti lompat parti.

“Ia juga bercanggah dengan hak parti-parti politik ke atas status keahlian anggotanya sendiri, selain daripada hak demokratik pengundi ke atas tindak-tanduk dan orientasi politik calon yang mereka pilih.

“Hakikatnya, kita kena akui Speaker Dewan Rakyat merupakan lantikan politik dan ahli parti kepada parti kerajaan. Sudah tentu akan ada kecenderungan mencari jalan dan alasan untuk menyatakan keputusan dibuat itu benar, tetapi ia mengukuhkan lagi tanggapan bias atau berat sebelah dalam keputusan budi bicara,” katanya.

Pada 6 Ogos lalu, Johari memaklumkan bahawa enam Ahli Parlimen yang dipecat oleh Bersatu kerana menyokong Perdana Menteri masih mewakili pembangkang di Dewan Rakyat.

Katanya, keputusan itu dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat.

Enam ahli parlimen berkenaan adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast