Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memastikan hasil laporan bedah siasat ke atas jenazah Zara Qairina Mahathir dikeluarkan segera.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ia berikutan banyak spekulasi tercetus berhubung mengapa proses bedah siasat tidak dijalankan di peringkat awal kematian pelajar berkenaan sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menambah, spekulasi mengapa hasil laporan bedah siasat lewat disediakan pula tidak boleh dibiarkan wujud.

“Sekarang sudah ada yang mendakwa bahawa ada pihak sengaja mahu melengahkan laporan bedah siasat sehingga selepas pilihanraya negeri Sabah.

“Jangan biarkan spekulasi seperti ini berterusan.

“Laporan bedah siasat mesti disegerakan. Tragedi Zara Qairina adalah isu kemanusiaan, bukan isu politik pilihanraya,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Wan Saiful menyertai beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) lain menerima memorandum Gerakan Mahasiswa dan Masyarakat Sivil berhubung kes buli dan kematian Zara Qairina di Parlimen hari ini.

Mengulas mengenai memorandum itu, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dan penyediaan dan penyerahan memorandum tersebut.

Ujarnya, usaha itu membuktikan bahawa sifat prihatin dan ambil berat masih subur di kalangan rakyat Malaysia.

“Saya menyokong gesaan yang disuarakan dalam memorandum ini,” katanya.

Wan Saiful turut berkongsi kandungan memorandum yang disediakan oleh Sekretariat Solidariti Zara itu yang antara lain menuntut Kementerian Pendidikan (KPM) menggantung serta-merta semua pegawai pendidikan, pentadbir sekolah dan pendidik yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menutup aduan, mengabaikan laporan, atau melengah-lengahkan tindakan terhadap kes buli, sehingga siasatan selesai sepenuhnya.

Selain itu, memorandum tersebut turut menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan perkembangan siasatan secara berkala dan telus kepada masyarakat.

Proses bedah siasat jenazah Zara Qairina selesai dijalankan  Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu lalu.

Proses bedah siasat itu dilakukan semula selepas kubur Allahyarham digali semula seperti diarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya siasatan berhubung punca kematian mangsa dijalankan semula.

Menurut peguam, Shahlan Jufri yang turut menyaksikan proses itu seperti dilaporkan media, tempoh laporan bedah siasat tersebut untuk disiapkan tidak dapat ditentukan dengan tepat, namun paling lewat boleh sampai dua bulan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast