Datuk Seri Yahaya Othman (tengah) memeriksa cip tunai kasino yang berjaya dirampas.

KUANTAN – Polis berjaya memperoleh 200 daripada 300 keping cip tunai kasino yang dilarikan daripada premis kasino di Genting Highlands, Bentong pada 2 Ogos lepas.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, cip berkenaan diperoleh selepas seorang kakitangan sebuah syarikat junket tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong memaklumkan telah membelinya daripada suspek pada hari kejadian.

“Hasil maklumat dan kerjasama dengan pihak media yang membuat hebahan berkenaan kes ini, seorang daripada pembeli telah tampil ke pihak polis pada 8 Ogos lepas.

“Hasil daripada soal siasat juga, dia mengaku telah menerima atau membeli Cash Chip ini yang bernilai RM2 juta. Bermakna dia menerima 200 keping.

“Setiap satu keping cip bernilai RM10,000 dan kini ia dijadikan bahan bukti,” katanya dalam sidang media sempena Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.

Yahaya berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu telah memberi pinjaman wang tunai RM2 juta kepada suspek melalui dua orang pekerjanya dengan cip tersebut telah dijadikan cagaran.

Beliau berkata, urusan itu dilakukan secara serahan tangan di lobi sebuah hotel di Genting Highlands tanpa sebarang perjanjian bertulis.

Menurutnya, polis masih berusaha mengesan suspek yang dipercayai masih mempunyai 100 keping cip terbabit bersama RM2 juta wang tunai.

“Suspek disyaki masih berada di luar negara dan sudah berada dalam senarai dikehendaki. Jika perlu, polis juga akan memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan dan menahan suspek,” tambahnya.

Sebelum ini, media melaporkan polis giat mengesan seorang lelaki berbangsa Cina, Victor Lee, 44 bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah jenayah kerana melarikan cip kasino bernilai RM3 juta daripada sebuah kasino di Genting Highlands. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Polis kesan suspek larikan cip kasino Genting Highlands bernilai RM3 juta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast