Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali (tengah) beramah mesra dengan penduduk ketika melawat tapak Jualan Rahmah MADANI pada program Pengumuman Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 di UTC Sentul, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 20 DISEMBER 2024.

 

KUALA LUMPUR – Sehingga 31 Julai 2025, sebanyak 13,060 siri Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dilaksanakan di seluruh negara membabitkan 15,626,464 transaksi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kementerian itu melaksanakan kepelbagaian model pelaksanaan bagi memastikan program tersebut benar-benar sampai kepada kumpulan sasar.

Ia termasuklah pelaksanaan PJRM di dalam premis, di kawasan terbuka dan secara bergerak.

Terdahulu beliau berkata, program tersebut mendapat respons paling positif daripada rakyat.

“Pada 2023 bermula 1 Setptember hingga November, KPDN telah jalankan satu kajian yang dinamakan Kajian Impak Pelaksanaan Payung Rahmah yang telah dibentangkan.

“Antara dapatan kajian tersebut beberapa inisiatif  PJRIM adalah salah satu program yang mendapat respons  positif,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi (Pakatan Harapan) di Dewan Rakyat.

Untuk rekod, kerajaan meningkatkan peruntukan Inisiatif Payung Rahmah dalam Belanjawan 2025 daripada RM200 juta kepada RM300 juta, termasuk RM252 juta khas untuk PJRM.

Selanjutnya pada 23 Julai 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM300 juta khusus bagi memperkukuh pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani, menjadikan peruntukan keseluruhan Inisiatif Payung Rahmah bagi tahun 2025 adalah RM600 juta, termasuk RM552 juta khusus untuk PJRM.

Selain itu Armizan berkata, KPDN juga menambah kekerapan PJRM di semua kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.

Tambahnya, jenis barangan juga ditambah mengikut keperluan tempatan dan musim perayaan.

“Kekerapan akan ditingkatkan daripada sasaran awal 15,360 siri PJRM kepada 20,000 siri PJRM setahun sehingga Disember 2025.

“Liputan barangan termasuk keperluan sekolah, barangan basah semasa PJRM@Pasar, barangan keperluan pelajar semasa PJRM@Kampus di IPTA/IPTS (Institut Pengajian Tinggi Awam/ Swasta),” jelasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast