KUALA LUMPUR – Seorang lagi individu direman kerana disyaki bersubahat mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan bayaran kad kredit syarikat bagi tempahan hotel berjumlah kira-kira RM55,000 untuk kepentingan peribadi.
Perintah reman selama empat hari sehingga 15 Ogos ini dikeluarkan Majistret Saiful Sayoti selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Jenayah 2, Seremban, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an itu telah ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.
“Siasatan awal mendapati suspek yang juga merupakan seorang anggota pasukan beruniform disyaki bersuhabat melakukan perbuatan tersebut bersama seorang kerani sebuah syarikat pelancongan di ibu negara yang telah ditahan reman pada 16 Julai lalu.
“Kedua-dua suspek dipercayai telah melakukan perbuatan tersebut dari Mac 2023 hingga Februari 2024 dengan mengemukakan dokumen tuntutan bayaran kad kredit syarikat yang mengandungi butiran palsu bagi tempahan hotel atas urusan rasmi syarikat untuk kepentingan peribadi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. -MalaysiaGazette
















