KUALA LUMPUR – Harga terendah yang ditetapkan untuk pakej haji pada tahun 1446H yang lalu bagi penduduk tempatan di Arab Saudi bermula sekitar SR10,000 (RM11,300) merangkumi permit kebenaran serta khemah di Masyair.
Pakej ini tidak termasuk kos-kos lain yang perlu ditanggung seperti pengangkutan udara atau darat, penginapan, makanan di Mekah serta Madinah dan sebagainya.
Oleh itu, Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan umat Islam di negara ini perlu berhati-hati jika tawaran perkhidmatan badal haji ditawarkan sehingga serendah RM1,500 yang diiklankan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“TH mengingatkan masyarakat khususnya umat Islam di Malaysia untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan sebarang tawaran perkhidmatan upah atau badal haji yang diiklankan oleh mana-mana agensi pelancongan mahupun individu bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan,” kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad.
Penjelasan ini dibuat kerana setiap tahun menjelangnya permulaan operasi haji pastinya akan ada segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan mengiklankan pelbagai tawaran pakej badal haji secara meluas sama ada secara fizikal di pelbagai premis termasuk surau dan masjid atau pemasaran tular di platform media sosial.
Kebanyakan iklan pakej badal haji ini ditawarkan dengan harga yang tidak munasabah dan lebih rendah daripada kos pakej haji yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada penduduk tempatan.
Lagipun, ujarnya, Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan setiap individu dari luar negara perlu mendapatkan visa haji untuk melaksanakan ibadat haji manakala penduduk tempatan pula diwajibkan untuk memiliki permit kebenaran daripada pihak berkuasa Arab Saudi.
Jelas beliau lagi, dengan kos yang dikenakan terhadap penduduk tempatan ini, adalah mustahil khidmat badal haji boleh dilakukan di bawah kos tersebut.
Malahan, penduduk tempatan Arab Saudi juga hanya dibenarkan untuk menunaikan haji hanya sekali untuk setiap lima tahun.
Selain itu, didapati terdapat juga unsur penipuan yang berlaku semasa pelaksanaan haji di mana nisbah jumlah pelaksana dan jumlah peserta badal haji adalah tidak seimbang di mana ada yang mengambil upah badal haji sehingga 200 orang untuk seorang pelaksana.
Ini jelas bertentangan dengan peraturan dan menyalahi syariat seperti yang digariskan dalam ajaran agama Islam.
“TH ingin menekankan Kerajaan Arab Saudi telah melaksanakan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat di mana sekiranya jemaah haji ditangkap menggunakan visa atau permit yang tidak sah akan berdepan hukuman denda, penjara dan akan disenarai hitam daripada memasuki Arab Saudi untuk tempoh beberapa tahun.
“Justeru, rakyat Malaysia perlulah bijak untuk menilai tawaran perkhidmatan sehingga serendah RM1,500 yang diiklankan agar tidak tertipu. TH menyarankan kepada mereka yang ingin melaksanakan badal haji supaya tidak mudah mempercayai iklan penyediaan perkhidmatan badal haji secara komersial bagi mengelak ditipu pihak tidak bertanggungjawab,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















