KUALA LUMPUR – Sebanyak 779 kontena mengandungi sisa elektronik atau e-sisa ditahan dengan 583 daripadanya diperiksa Jabatan Alam Sekitar (JAS), antara 2023 hingga Mei lalu.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, menerusi pemeriksaan, 119 Notis Arahan dikeluarkan kepada syarikat pengimport bagi menghantar kembali kontena ke negara asal di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
Katanya, sebanyak 294 kontena telah dihantar pulang ke negara asal selepas notis berkenaan dikeluarkan.
“Ini selaras prosedur di bawah Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Merentasi Sempadan Sisa Berbahaya dan Pelupusannya mewajibkan semua pergerakan rentas sempadan buangan terjadual sama ada untuk import, eksport, transit atau ‘transhipment’ mendapat kebenaran bertulis daripada JAS terlebih dahulu.
“Operasi bersepadu seperti ini akan dilaksanakan secara berterusan agar jenayah membabitkan aktiviti pemprosesan e-sisa secara haram yang diimport masuk ke negara ini dapat dibanteras,” katanya yang menjalankan tugas dan fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai langkah membanteras jenayah pelupusan sisa elektronik secara haram dilakukan premis beroperasi tanpa permit sah di negara ini.
Sementara itu, Johari berkata, kementerian komited membanteras jenayah membabitkan aktiviti pemprosesan e-waste secara haram yang diimport masuk ke negara ini secara tidak sah.
Kataya, kerajaan juga terus menggandakan usaha membanteras kilang haram memproses e-sisa melalui operasi bersepadu seperti Ops Hazard 1.0 dan 2.0 yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara pada Februari dan Jun lalu.
“Sebanyak 122 premis diserbu dan tindakan sudah diambil di bawah AKAS 1974. Menerusi Ops Hazard 1.0, sebanyak 53 premis di seluruh negara diserbu dengan jumlah e-sisa terkumpul berjumlah 9,356 tan, manakala 69 premis lagi diserbu menerusi Ops Hazard 2.0 dengan jumlah e-sisa terkumpul sebanyak 2,069 tan,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa menjelaskan, kerajaan turut terus memperkukuh mekanisme kawalan di pintu masuk sempadan serta meningkatkan penguatkuasaan dengan kerjasama agensi terbabit di pelabuhan, termasuk Jabatan Kastam Diraja Malayasia, Pihak Berkuasa Pelabuhan dan JAS.
Katanya, kerajaan juga meningkatkan kerjasama dengan organisasi antarabangsa seperti Sekretariat Konvensyen Basel, Asian Network, Enforce, Interpol dan lain-lain dalam aspek penyaluran maklumat mengenai kapal membawa kontena disyaki mengandungi e-sisa yang akan masuk melalui pelabuhan negara. – MalaysiaGazette
















