KUALA LUMPUR – Sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada persidangan Dewan Rakyat kecoh susulan ‘perang mulut’ antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sebaik sahaja Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berucap.
Kekecohan tercetus setelah Chong Zhemin (PH-Kampar) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit mempersoalkan perbahasan Abdul Hadi yang didakwa tidak menyentuh mengenai RMK13.
Ia selepas Presiden Pas itu mendakwa, keadaan pentadbiran di Kuala Lumpur dipenuhi masalah disebabkan kerajaan di bawah pemerintahan DAP, Pakatan Harapan (PH) dan rakan-rakannya.
“Ucapan Marang ini tak sebut soal RMK13,” kata Chong.
“Saya hadir dengar amanat Marang daripada Pas, kita hormati beliau. Sebagai pemimpin Pas, kenapa perlu Marang keluarkan kenyataan Kuala Lumpur bermasalah kerana ada DAP dan PH? Marang keluarkan kenyataan sopan dan sangkaan jahat,” kata pula Rayer.
Susulan itu, Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) bangkit menjelaskan, bahawa ucapan Abdul Hadi memang berkaitan soal RMK13 apabila menyentuh isu integriti dan cukai.
Beliau kemudiannya menyifatkan Zhemin gagal memahami ucapan Abdul Hadi dan meminta Speaker menghentikan kekecohan serta meneruskan agenda perbahasan.
Bagaimanapun, Rayer dan Zhemin masih tidak berpuas hati dan terus mempersoal ucapan Abdul Hadi.
Berang dengan tindakan itu, beberapa wakil rakyat pembangkang lain termasuk Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) dan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) menyifatkan Rayer cuba melakukan provokasi dan bersikap kurang ajar.
Keadaan menjadi bertambah tegang apabila Rayer mendakwa Pas sebagai “parti ajaran sesat” yang mengundang rasa tidak puas hati wakil pembangkang yang kemudian meminta beliau menarik balik kenyataan tersebut.
“Tarik balik! Ini perbuatan biadab, sangkaan jahat! Perkataan Pas itu, tarik balik! Ini akan menimbulkan sifat bermusuh-musuhan! Tuduh parti ajaran sesat ini, kurang ajar!” kata Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau).
Beliau kemudian meminta Timbalan Speaker, Suhaizan Kaiat yang mengemudi dewan ketika itu, membuat keputusan.
Situasi menjadi semakin kecoh sehingga memaksa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengambil alih sidang daripada Suhaizan.
Johari memberi amaran keras kepada semua Ahli Parlimen termasuk tidak membenarkan Zhemin berucap.
“Saya lihat jelas, budak sekolah ada depan. Saya dengar dari chamber, berucap guna perkataan maki, guna perkataan tak elok.
“Kita bercakap nak negara maju, tak boleh macam ini, kena hormat sebagai pemimpin. Saya nak tutup kekecohan di sini dan saya minta Bentong teruskan perbahasan,” katanya.
Johari turut memberi amaran untuk menggantung Rayer dan Awang jika mereka terus melakukan perang mulut dan menunjukkan perangai kebudak-budakan di Dewan Rakyat.
Terdahulu, dalam ucapannya Abdul menyifatkan kerajaan yang membebankan kehidupan rakyat seperti masalah inflasi, kos sara hidup, keruntuhan moral, jenayah, rasuah, dan lain-lain sebagai satu bentuk bencana.
Katanya, rakyat wajib menukar kerajaan yang berpakaian tidak lengkap ini kerana kehilangan maruahnya dan hilang harga diri manusia yang dimuliakan Allah, di samping khianat terhadap amanah untuk mentadbir dunia dengan petunjuk Allah.
Beliau secara berkias melalui pantun berkata, Kuala Lumpur bermasalah kerana pentadbiran kerajaan disertai DAP dan PH:
“Sebab Kuala Lumpur punca masalah bawah DAP, PH dan rakan-rakannya.
“Pergi ke Sabah patah balik menuju Kelantan, jangan berlumpur tersungkur rebah, lebih baik letak jawatan,” katanya. – MalaysiaGazette

















Hadi Awang pun patut letak jawatan,,tiada apa-apa kemajuan di Marang
Duit rakyat diterima oleh beliau untuk bulanan itu pun patut dipersoalkan