Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Jurang antara pendidikan awam dan swasta mungkin akan semakin melebar apabila lebih ramai ibu bapa mempertimbangkan untuk menghantar anak mereka ke sekolah swasta susulan peningkatan kes buli di sekolah awam.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda–Muar) berkata, ibu bapa yang bergantung kepada sekolah awam mungkin akan terpinggir kerana institusi ini satu-satunya pilihan yang mampu mereka capai.

“Sebagai produk sekolah rendah kebangsaan, sekolah menengah kebangsaan dan universiti awam, saya amat bimbang setiap kali kes buli menjadi tular.

“Realitinya, anak-anak daripada keluarga berada mempunyai pilihan seperti sekolah antarabangsa, sekolah swasta atau belajar di luar negara,” katanya ketika perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat hari ini.

Syed Saddiq menambah, bagi anak-anak daripada keluarga miskin, sekolah awam merupakan satu-satunya laluan untuk mengangkat keluarga mereka keluar daripada kemiskinan.

Ujarnya, jurang dalam kualiti pendidikan semakin melebar dan berisiko mewujudkan sistem dua lapis iaitu satu untuk golongan kaya dan satu lagi untuk golongan miskin.

Beliau berkata, data menunjukkan keluarga berpendapatan sederhana kini sanggup membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk pendidikan swasta.

Jelasnya , laporan kes buli telah melonjak daripada kira-kira 300 kes setahun antara 2021 hingga 2024 kepada 6,500 kes setiap tahun.

“Buli menjadi sistemik apabila warden cuai menjalankan tugas, guru besar menutup mata demi menjaga nama baik dan rakan sebaya menganggap tradisi senior itu perkara biasa,” katanya.

Syed Saddiq turut mengemukakan mengenai kes Zara Qairina Mahathir dan mempersoalkan mengapa tindakan hanya diambil selepas timbulnya protes dan tular di media sosial untuk menukar warden dan guru besar.

“Sepatutnya ada campur tangan yang cepat. Mengapa ambil masa dua minggu untuk bertindak dan apa maksudnya ini untuk ibu bapa yang sedang mempertimbangkan sekolah berasrama penuh?” soal beliau.

Tambahnya, pentadbiran sekolah perlu dipertanggungjawabkan sama seperti ibu bapa apabila berlaku pengabaian yang membawa kepada kemudaratan.

“Kita perlu pastikan pihak pengurusan sekolah memikul tanggungjawab untuk melindungi anak-anak kita,” katanya.

Syed Saddiq mencadangkan sekolah awam diberikan sokongan menyeluruh seperti elaun warden yang mencukupi, kaunselor yang dilatih semula dan pemasangan CCTV untuk mencegah buli.

“Jika buli berlaku, tindakan mesti diambil dari peringkat atasan hingga ke bawah agar tiada sistem sokongan yang berdiam diri,” katanya.

Beliau turut menggesa agar pendidikan prasekolah percuma dan berkualiti disediakan dengan pembiayaan mencukupi agar dapat diakses secara menyeluruh.

“Prasekolah percuma akan menjamin akses saksama kepada pembelajaran berkualiti sebelum memasuki sekolah rendah,” kata Syed Saddiq.

Beliau turut menegaskan reformasi perlu memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada guru terbaik, makanan berkhasiat dan pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang.

“Kita perlu pastikan sekolah kebangsaan kekal sebagai pilihan utama untuk semua keluarga,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast