KUALA LUMPUR – Dalam kejadian seorang wanita bersenjata pisau ‘mengamuk’ di Kajang, sebanyak enam orang menjadi mangsanya.
Kesemua mangsa berusia dalam 21 hingga 60 tahun itu mengalami kecederaan akibat serangan tersebut di mana daripadanya ditahan wad bagi pemeriksaan lanjut.
Manakala empat lagi mangsa dirawat sebagai pesakit luar, kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof,dalam kenyataan malam ini.
Dalam kejadian yang sama, terdapat tiga motosikal mengalami kerosakan akibat dilanggar.
“Suspek telah ditahan dan akan direman dibawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Hari ini pihaknya mengesahkan telah menerima panggilan kecemasan di Pusat Kawalan Daerah daripada orang awam memaklumkan terdapat seorang wanita telah memandu kereta dengan dengan cuai dan melanggar tiga motosikal di kawasan lampu isyarat persimpangan jalan berhampiran sebuah pusat membeli belah di Bandar Kajang.
Suspek kemudian telah keluar dari kereta dan menyerang orang awam yang berada berhampiran lokasi kejadian dengan bersenjatakan sebilah pisau di tangannya.
Hasil bantuan daripada orang awam, suspek bukan warganegara itu berumur 24 tahun dapat ditahan bersama dua bilah pisau sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum sehingga 20 tahun.
Siasatan juga dijalankan dibawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh sehingga menyebabkan kemudaratan kepada orang lain, yang mana boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda tidak melebihi RM2,000 jika sabit kesalahan.
Kes turut disiasat dibawah kesalahan trafik iaitu di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dimana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM10,000 dan juga boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Nursyaza Farhah Samhairi di talian 017-691 9817 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Wanita bersenjata pisau mengamuk, serang orang awam di Kajang
















