Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 13 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Pemilihan Khairil Nizam Khirudin (PN–Jerantut) dari pembangkang untuk menyertai Pasukan Petugas Khas Siasatan Insiden Kemalangan Maut yang membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) adalah kerana beliau mempunyai latar belakang sebagai seorang profesional dan mampu berhujah dengan fakta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang memaklumkan perkara itu berkata, beliau sendiri mencadangkan nama Khairil, sekaligus menunjukkan bahawa kerajaan bersikap terbuka dan telus dalam menangani isu keselamatan jalan raya.

“Saya sendiri menamakan Jerantut dalam pasukan petugas khas ini kerana saya menghormati beliau sebagai Ahli Parlimen yang profesional dan berfakta. Kita harap ini menjadi contoh kepada Ahli Parlimen lain supaya turut berhujah dengan fakta, secara telus dan berhemah.

“Macam Pasir Mas itu kena belajar sikit, saya tak lantik sebab dia kurang sikit. Jerantut saya hormat sebagai jurucakap yang boleh dipercayai kerana berpegang kepada fakta. Saya pernah jadi pembangkang… kalau nak dihormati pihak eksekutif, mesti bercakap dengan fakta, jangan cakap merapu,” katanya pada sesi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Khairil sama ada kerajaan akan menubuhkan  Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) sebagaimana yang pernah dicadangkan pada tahun 2018 dan jika dilaksanakan, wakil rakyat pembangkang sedia menyokongnya.

Sebelum ini, Loke mengumumkan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Hasni Mohammad, Khairil serta beberapa individu lain menyertai pasukan petugas khas tersebut yang dipengerusikan oleh Ketua Inspektor Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan (MOT), Brigadier Jeneral Tan Chee Kee.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa kementeriannya sedang merangka dasar untuk menubuhkan MTSB dan ia memerlukan masa yang panjang untuk dilaksanakan.

“Nak tubuh badan baharu bukan mudah. Banyak proses perlu dilakukan perlu dibawa ke Kabinet untuk mendapatkan keputusan dasar, dan keputusan dasar ini pula memerlukan sokongan pelbagai pihak.

“Untuk tubuh MTSB, perlu ada satu birokrasi baharu, pewujudan jawatan baharu dan sebagainya, yang mempunyai implikasi kewangan, perjawatan dan lain-lain. Selepas itu barulah wujud jawatankuasa kerja yang melibatkan setiap perincian sebelum boleh draf rang undang-undang untuk diluluskan di Parlimen,” ujarnya.

Sementara itu, ketika mengulas cadangan supaya kerajaan mewajibkan dua pemandu bagi kenderaan berat, Loke berkata, usaha itu sukar untuk dilaksanakan sepenuhnya memandangkan negara kekurangan jumlah individu yang berminat bekerja dalam bidang tersebut.

“Dalam beberapa kategori seperti bas persiaran dan ekspres, jika jaraknya melebihi 300 kilometer memang diwajibkan dua pemandu.

“Namun, kita menghadapi masalah praktikal dalam pasaran kerana pemandu bas dan lori agak kurang  bukan sahaja tidak ramai berminat, malah kita telah mengadakan pelbagai kempen termasuk lesen E percuma,” tambahnya.

Katanya, kementeriannya juga sedang merangka pendekatan baharu bagi melahirkan lebih ramai pemandu profesional, termasuk melihat dari segi kadar gaji yang perlu dibayar setimpal dengan risiko dan beban kerja yang dilaksanakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast