Tun Faisal Ismail Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan UMNO didakwa lembab apabila mengambil masa hampir dua tahun untuk mengesahkan kewujudan Titah Adendum berkaitan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Peguam Negara untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini, sekali gus mengesahkan buat kali keempat kewujudan Titah Adendum tersebut.

“Titah Adendum sah wujud, tetapi belum sah untuk dilaksanakan.

“Selama setahun setengah, masa mahkamah, hakim-hakim dan wang pembayar cukai dibazirkan untuk mengesahkan sesuatu yang cukup mudah untuk disahkan kewujudan Titah Adendum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Peguam Negara (AG) hari ini gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan keputusan yang membenarkan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Susulan itu, semakan akan diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berdasarkan tarikh-tarikh yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, pengesahan tersebut telah dibuat buat kali pertama oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Januari 2025, kali kedua oleh Perdana Menteri pada 11 Januari 2025, kali ketiga melalui kenyataan Peguam Negara dalam prosiding Mahkamah Rayuan pada 8 Julai 2025, dan kali keempat melalui keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini.

Tun Faisal mendakwa, selama setahun setengah masa mahkamah, hakim dan wang pembayar cukai dibazirkan untuk mengesahkan sesuatu yang mudah iaitu kewujudan titah tersebut, sedangkan pihak kerajaan boleh sahaja mendapatkan salinan asal untuk ditunjukkan di mahkamah.

“Tiada keperluan untuk Peguam Negara merayu, termasuk merayu keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini jika PM10, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri UMNO benar-benar mahu melaksanakan Titah Adendum ini dan bukan menderhakainya,” tegasnya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Peguam Negara yang didakwa secara unilateral memutuskan titah tersebut tidak sah tanpa kuasa di sisi undang-undang, serta mendakwa UMNO tidak membantah keputusan itu sejak ia diketahui pada Februari 2024.

Tun Faisal berkata, langkah paling mudah ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Ahli Parlimen UMNO mengarahkan Perdana Menteri supaya Peguam Negara tidak merayu, mengiktiraf titah tersebut, dan seterusnya mengarahkan pelaksanaannya oleh Menteri Dalam Negeri serta Ketua Pengarah Penjara.

Beliau turut mempersoalkan “muslihat” kepimpinan kerajaan dan UMNO sehingga perkara yang dianggap mudah menjadi rumit, memakan masa mahkamah serta membazirkan wang rakyat.

“Elok juga Ahli Parlimen UMNO membuat usul untuk membawa Menteri Dalam Negeri dan Menteri Undang-undang ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dan mendesak mereka meletak jawatan.

“Takkan itu pun Ahli Parlimen dan MKT UMNO tidak mampu buat. Nampak sangat lemah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast