KUALA LUMPUR – Kes remaja hamil di bawah usia 18 tahun meningkat 0.5 peratus kepada 2,752 tahun lalu berbanding 2,737 kes pada 2023.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang mendedahkan perkara itu berkata, Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi pada kedua-dua tahun, diikuti Sabah dan Pahang.
Menurutnya, data awalan bagi tempoh Januari hingga Mac lalu, merekodkan sejumlah 655 kes remaja hamil di bawah usia 18 tahun.
“Antara punca utama kehamilan remaja di Malaysia ialah kekurangan akses kepada pendidikan kesihatan reproduktif yang menyeluruh, yang menyebabkan ramai remaja tidak memahami dengan jelas cara melindungi diri daripada kehamilan tidak dirancang.
“Dapatan ini juga disokong oleh hasil Kajian Faktor Risiko dan Pelindung Remaja Terhadap Kesihatan Reproduktif dan Sosial yang diterbitkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 2019,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman) yang meminta Kementerian menyatakan status semasa peningkatan kes kehamilan dalam kalangan kanak- -kanak (bawah umur 18 tahun) di setiap negeri dari 2023 hingga suku pertama 2025 dan jumlah kes, kadar peratusan pertumbuhan dan punca utama mengikut negeri.
Mengulas lanjut Noraini berkata, Jurnal Psikologi Malaysia pada 2020 menyenaraikan beberapa faktor lain seperti tekanan rakan sebaya dan pengaruh media khususnya pendedahan kepada kandungan seksual secara terbuka.
Jelasnya, ini boleh membentuk norma serta persepsi yang mendorong remaja untuk mencuba atau bereksperimen.
“Dari sudut sosioekonomi pula, kemiskinan, keciciran sekolah dan ketiadaan peluang pekerjaan juga dikenal pasti sebagai faktor yang meningkatkan kerentanan remaja terhadap risiko ini.
“Selain itu, latar belakang keluarga dan gaya hidup boleh menyumbang kepada peningkatan tingkah laku seksual berisiko,” katanya.
Tambah beliau, bagi menangani isu kehamilan remaja, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) menyeru pelbagai agensi untuk berganding bahu secara kolaboratif dalam memperkukuh dan memperluas inisiatif yang bersifat holistik, demi mencapai impak positif kepada kesejahteraan remaja di Malaysia. – MalaysiaGazette
















