KUALA LUMPUR – Biro Hubungan Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyeru semua kesatuan dan agensi-agensi media di Malaysia dan di negara ASEAN untuk turut mengutuk keras pembunuhan wartawan di Gaza.
Biro itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, pembunuhan wartawan itu jelas merupakan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Selain itu, biro itu turut mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB); Mahkamah Tinggi Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) segera menjalankan siasatan dan mendakwa pemimpin politik dan tentera Israel.
Dalam masa sama, biro itu menuntut sekatan senjata secara total terhadap Israel sehingga kekejaman di Gaza dihentikan dan mengecam negara serta syarikat yang terus membekal senjata kepada Israel sebagai bersubahat dalam jenayah perang.
“Pembunuhan wartawan di Gaza adalah sebahagian daripada kempen genosid sistematik terhadap rakyat Palestin.
“Dunia mesti bertindak segera. Setiap hari tanpa tindakan adalah hari yang menambah korban dan mencemar maruah kemanusiaan sejagat,” katanya.
Tambah kenyataan itu, pembunuhan wartawan oleh regim Zionis merupakan pelanggaran jelas terhadap Konvensyen Geneva Ke IV dan Undang-Undang Antarabangsa.
Ini kerana, katanya, wartawan merupakan orang awam yang harus dilindungi, tetapi telah dijadikan sasaran perang untuk menutup bukti jenayah genosid.
“Sehingga kini pihak berkuasa Gaza menanggarkan pembunuhan Wartawan di Gaza mencecah 270 orang.
“Malah, pembunuhan Anas al-Sharif seoarang wartawan Al Jazeera dan rakan sekerja dalam serangan udara di khemah media berhampiran Hospital Al-Shifa pada 10 Ogos 2025 adalah jelas satu tindakan regim Zionis Israel untuk menutup penyaluran berita genosid kepada masyarakat dunia,” katanya. – MalaysiaGazette
















