Seorang pemuda maut selepas motosikalnya melanggar sebatang pokok tumbang di Jalan Kampung Teluk/Pelepat, Tanjung Sedili, Kota Tinggi malam tadi.

KOTA TINGGI – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang melanggar sebatang pokok tumbang di Jalan Kampung Teluk/Pelepat, Tanjung Sedili dekat sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian tersebut pada pukul 12.10 malam.

“Kejadian melibatkan mangsa, Mohammad Faizzi Yusnizan yang berusia 26 tahun dan bekerja kampung menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR telah terlanggar pokok tumbang lalu terjatuh dan cedera parah di kepala.

“Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili namun meninggal dunia semasa mendapat rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan ujarnya, boleh dipenjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu dalam tempoh lima tahun.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast