ISKANDAR PUTERI – Persiapan kurang mantap punca Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak cemerlang pada masa awal perlawanan sebelum bangkit dan menundukkan Negeri Sembilan FC (NSF) 5-3 pada aksi Liga Super, di sini, malam tadi.
Pengendali skuad Harimau Selatan, Xisco Munoz berkata, kepincangan itu jelas dapat dilihat dalam tempoh 20 minit pertama perlawanan hingga menyaksikan pintu gol di bolosi dua kali dalam tempoh empat minit.
“Ternyata ia bukan permulaan yang sempurna buat JDT setelah menang 3-0 ketika berdepan Selangor FC pada aksi Sumbangsih, minggu lalu apabila kami perlu bekerja keras.
“Kami juga berdepan situasi yang berbeza dalam perlawanan itu dan ini membuatkan kami perlu belajar bagi memulakan perlawanan dengan lebih agresif.
“Pada aksi pertama liga kami menyerlah apabila menjaringkan gol awal tapi pada perlawanan kali ini kami leka sehingga akhirnya dihukum pasukan lawan,” katanya dalam sidang akhbar sejurus tamat perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim.
Pada aksi sengit itu, skuad Hobin Jang Hobin lebih dahulu mencemaskan JDT apabila membuka jaringan menerusi import Ghana, Joseph Esso pada minit ke-8 sebelum empat minit berselang giliran seorang lagi pemain import, Jovan Motika menjaringkan gol kedua pelawat.
Bagaimanapun, pemain JDT, Jon Irazbal merapatkan jurang gol pada minit ke-38 disusuli jaringan Joao Figueiredo (minit ke-42).
Babak kedua menyaksikan Irazabal menjaringkan gol ketiga JDT pada minit ke-56, diikuti Arif Aiman Hanapi (minit-58).
Motika kemudiannya menjaringkan gol ketiga pelawat sebelum peledak berbisa, Bergson da Silva menjaringkan gol kelima JDT pada masa kecederaan.
Sementara itu, Munoz berkata, masih banyak yang perlu diperbaiki seperti ketika situasi bola mati yang menghasilkan dua jaringan daripada sepakan sudut dalam perlawanan berkenaan.
Katanya, jaringan dari situasai bola mati itu masih belum membanggakan kerana skuad Harimau Selantan memiliki 14 sepakan sudut di sepanjang perlawanan.
“Set piece (bola mati) ini penting kerana kita diberikan banyak sepakan sudut dan sepakan bebas dalam sesuatu perlawanan. Hal seperti inilah yang perlu dijadikan senjata buat Harimau Selatan.- MalaysiaGazette
















