Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Sekolah Henry Gurney mencapai kadar kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, kata Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri itu berkata, pendekatan rehabilitasi dan pendidikan di sekolah-sekolah tersebut membekalkan pelajar dengan kelayakan akademik serta kemahiran praktikal melalui latihan teknikal dan vokasional.

“Sekolah-sekolah ini mencapai kadar kelulusan 100%, dengan 40% pelajar memperoleh sekurang-kurangnya satu A,” katanya pada sesi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau mengaitkan keputusan itu dengan kerjasama antara sekolah, pendidik dan program intervensi khusus.

“Matlamat kami adalah untuk memupuk sikap positif dan daya ketahanan di kalangan pelajar,” tambahnya.

Sekolah Henry Gurney berfungsi sebagai pusat rehabilitasi bagi pesalah muda yang diuruskan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

Ia menyediakan persekitaran yang tersusun yang menawarkan pendidikan dan latihan kemahiran hidup.

Sekolah-sekolah itu terletak di Teluk Mas, Melaka; Keningau, Saba; Puncak Borneo, Sarawak dan sebuah sekolah wanita muda di Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau berkata, sekolah-sekolah ini juga menawarkan TVET, dengan 153 pelajar menerima sijil yang diiktiraf iaitu Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

“Program-program ini membekalkan pelajar dengan kemahiran praktikal seperti pembuatan pastri, kerja elektrik, dan fabrikasi logam,” katanya.

Menjawab pertanyaan Zakri Hassan (PN-Kangar) dan Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol), Shamsul Anuar berkata, sokongan dan penilaian dilakukan secara berterusan.

“Kami menjalankan penilaian impak secara berkala dan menawarkan kaunseling untuk kesihatan mental serta perkembangan peribadi,” katanya.

Shamsul Anuar menambah, pendidikan pembetulan diintegrasikan dengan kurikulum kebangsaan dan pengajian agama dengan sokongan daripada agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau berkata, pendekatan menyeluruh ini merangkumi lima kluster: akademik, agama, kemahiran teknikal dan vokasional, seni, dan sukan.

“Program seperti Projek Riben Kuning bertujuan untuk memberi peluang kedua kepada golongan muda dan mempersiapkan mereka untuk kembali sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast