KUALA LUMPUR – Malaysia mencadangkan penubuhan Pasukan Petugas Kemahiran Hijau dan Digital ASEAN sebagai langkah konkrit untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam pembangunan bakat yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pasukan petugas itu akan menjadi platform penyatuan di antara negara-negara ASEAN dalam melaksanakan tindakan nyata, menetapkan sasaran yang boleh diukur serta memberikan sokongan bersama bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi mengikut keperluan semasa dan masa hadapan.

“Mungkin, daripada perhimpunan ini, kita dapat menubuhkan satu gerakan serantau baharu Pasukan Petugas Kemahiran Hijau dan Digital ASEAN yang menyatukan kita dalam tindakan konkrit, sasaran yang boleh diukur, dan sokongan bersama yang teguh untuk membangunkan bakat yang diperlukan oleh rantau kita,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan TVET ASEAN di Pusat Dafanfan Dunia (WTC), pagi ini.

Hadir sama adalah Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Menurut Ahmad Zahid, integrasi ASEAN dalam sektor TVET perlu dibuktikan melalui mobiliti kemahiran dan ilmu pengetahuan rentas sempadan, termasuk program perantis di mana pelajar dari negara anggota boleh menjalani latihan di negara ASEAN lain.

“Kita juga mesti menjadi perintis kepada program perantis rentas sempadan di mana pelajar dari Filipina boleh menjalani latihan di Malaysia, warga Indonesia di Vietnam, dan graduan Thailand di Singapura menjadikan integrasi ASEAN sebagai satu realiti melalui pergerakan kemahiran dan ilmu pengetahuan,” katanya.

Menurut beliau, usaha itu tidak terhad di dalam rantau ini sahaja, sebaliknya Malaysia sudah pun memperluas agenda TVET ke peringkat global dengan 5,125 penempatan industri di China, kerjasama bersama Universiti Kecerdasan Buatan Mohamed bin Zayed di Abu Dhabi serta pertukaran kemahiran dengan Jepun, Jerman dan Australia.

“Perjalanan TVET kita tidak terhenti di sempadan Malaysia. Kita telah melangkah ke pentas dunia untuk memperkukuh agenda ini, memastikan bakat kita berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Ahmad Zahid turut memaklumkan Malaysia telah mencadangkan penubuhan Pusat Pensijilan dan Kecemerlangan TVET ASEAN sebagai badan pusat untuk menetapkan penanda aras memastikan pengiktirafan bersama dan mempromosikan mobiliti pekerja mahir merentasi sempadan.

Katanya, kejayaan TVET tidak lagi boleh diukur pada pencapaian sesebuah negara sahaja memandangkan tenaga kerja kini semakin bersifat serantau dan cabaran yang dihadapi adalah sama di seluruh ASEAN.

Pusat Pensijilan dan Kecemerlangan TVET ASEAN adalah inisiatif Malaysia untuk menjadi hab kecemerlangan dan pensijilan TVET di peringkat serantau.

Ia melibatkan kerjasama dengan institusi pendidikan antarabangsa dan pemain industri untuk meningkatkan standard dan pengiktirafan TVET di ASEAN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast