KUALA LUMPUR – Sebanyak 15 kertas siasatan telah dibuka berhubung maklumat tidak sahih di media sosial yang dikeluarkan melibatkan kematian pelajar Tingkata Satu, Zara Qairina Mahathir.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, terdapat beberapa berita palsu telah ditularkan termasuk dakwaan mangsa dibuli menggunakan mesin basuh.
“Di sini pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia di mana seorang wanita berusia 39 tahun telah ditahan di Rawan, Selangor untuk siasatan kes ini.
“Kes ini masih dalam proses siasatan. Selain daripada itu, polis telah membuka 15 kertas siasatan terhadap macam-macam berita yang tidak sahih dikeluarkan.
“Ini kerana suatu berita tidak sahih, tidak benar boleh menganggu gugat ketenteraman awam dan juga proses siasatan,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menafikan terdapat pembabitan atau campur tangan orang kenamaan (VVIP) dalam siasatan kes kematian Zara Qairina.
Mengulas mengenai dakwaan guru besar dan guru displin menyembunyikan kes ini, Kumar berkata dakwaan itu masih dalam proses siasatan pihaknya.
“Sehingga kini, seramai 82 percakapan telah diambil dan ada antara mereka yang sudah dipanggil semula bagi menyambung keterangan,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar dipercayai terjatuh dari tingkat tiga pada 16 Julai lalu.
Pelajar berusia 13 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama jam 4 pagi kemudian disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Pada 8 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya kubur Allahyarham Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan. – MalaysiaGazette
















