Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur merangkap Penasihat Urbanisasi Mampan Kerajaan Malaysia, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif bergambar beramai-ramai selepas majlis penutup Forum Pembandaran Lestari Asean (ASUF), Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF) serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Negara ASEAN (MGMAC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Forum Pembangunan Bandar Mampan ASEAN (ASUF); Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF) serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC) melabuhkan tirainya hari ini selepas berlangsung penuh gemilang bermula 10 Ogos lalu.

Acara berprestij itu menarik penyertaan seramai 9,120 peserta dari 66 negara termasuk lebih 300 gabenor dan datuk bandar; pembuat dasar; pengamal pembangunan bandar; rakan kerjasama antarabangsa serta pakar-pakar bandar dari seluruh ASEAN.

Forum itu turut menampilkan seramai menampilkan 391 penceramah dari ASEAN dan antarabangsa dengan penganjuran 97 sesi merangkumi mesyuarat tertutup; dialog akar umbi; dialog bandar; perbincangan meja bulat; dialog peringkat tinggi, perhimpunan pihak berkepentingan dan pelbagai perbincangan acara lain yang relevan.

Acara itu dianjurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama URBANICE Malaysia dengan kerjasama UN-Habitat dan United Cities and Local Governments Asia-Pacific (UCLG ASPAC) serta dihoskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai bandar tuan rumah.

Pelbagai komitmen dicapai sepanjang acara itu berlangsung dengan ASUF berjaya memperkukuh penyelarasan dengan Strategi Pembandaran Mampan ASEAN (ASUS) dan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 selain memacu penyelesaian bandar bersepadu berteraskan rakyat.

ASUF turut menyaksikan sebanyak 10 Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai bagi menggerakkan inisiatif kerjasama bandar mampan di seluruh rantau ini.

Sementara itu, AGMF pula berjaya menggubal Tindakan Bersama (Joint Action) 2025 bagi bandar berteraskan rakyat dan berdaya tahan termasuk transformasi digital, penyesuaian iklim berasaskan komuniti serta memperkukuh penglibatan wanita dan belia dalam tadbir urus bandar.

Dalam pada itu, MGMAC pula berjaya mengeluarkan Joint Communique MGMAC 2025 yang memperkukuh rangkaian bandar ibu negara, mempromosi Laporan Semakan Sukarela Tempatan (Voluntary Local Reviews) serta memajukan inisiatif iklim dan sifar sisa.

Paling utama, hasil perbincangan ketiga-tiga forum itu membawa kepada penggubalan Resolusi Kuala Lumpur mengenai Pembandaran Mampan 2025 yang akan dibawa sebagai input rasmi ke Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-47 pada Oktober ini.

Dokumen itu menegaskan keperluan kepimpinan bandar yang teguh serta mengangkat suara tempatan sebagai nadi pembangunan masa depan ASEAN.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming ketika berucap menutup forum tersebut menegaskan, pembandaran adalah enjin yang memacu masa depan ASEAN, sekali gus menyeru tindakan segera yang berpaksikan rakyat.

Menurut beliau, keberhasilan melaksanakan agenda kemampanan bergantung kepada bandar-bandar di ASEAN, justeru rantau ini perlu menjadi juara dalam memimpin dan mengutamakan rakyat, merancang dengan visi yang jelas serta bertindak segera dan berani.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berucap pada majlis penutup Forum Pembandaran Lestari Asean (ASUF), Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF) serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Negara ASEAN (MGMAC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 OGOS 2025.

“Kepimpinan bandar bukan satu pilihan, tetapi satu keperluan. Suara tempatan bukan di pinggiran, tetapi adalah teras.

“Masa depan ASEAN tidak boleh ditentukan dari atas ke bawah semata-mata, tetapi mesti ditulis bersama oleh bandar kita, komuniti kita dan rakyat kita, mereka yang menghadapi cabaran setiap hari, dan yang memegang kunci kepada penyelesaian paling mampan,” katanya.

Sementara itu, berkongsi antara kejayaan penganjuran forum tersebut, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, MGMAC dengan 10 ibu kota ASEAN dan Dili sebagai pemerhati bersetuju menubuhkan sebuah sekretariat tetap di Jakarta, Indonesia.

Datuk Bandar Kuala Lumpur merangkap Penasihat Urbanisasi Mampan Kerajaan Malaysia, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berucap pada majlis penutup Forum Pembandaran Lestari Asean (ASUF), Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF) serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Negara ASEAN (MGMAC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 OGOS 2025.

Menurutnya, ia bagi membolehkan komitmen yang dicapai pada forum kali ini dipantau dan dilaporkan, sekali gus membantu bergerak daripada sekadar dialog kepada pelaksanaan.

“Dengan sokongan Gabenor Jakarta, Pramono Anung, sekretariat ini akan membantu kita menyelaras, berkongsi sumber dan menguruskan projek di lapangan.

“MGMAC akan bekerjasama rapat dengan UCLG ASPAC dan UN-Habitat, dan kita akan menyelaras melalui platform Bandar Mampan ASEAN serta Sekretariat ASEAN untuk memastikan ia sejajar dengan Visi 2045,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) URBANICE Malaysia, Norliza Hashim pula berkata, menyifatkan acara kali ini sangat unik dan menarik kerana selain menghimpunkan tiga forum serentak, ia juga buat pertama kali menyaksikan penyertaan dari negara Timor Leste.

Ketua Pegawai Eksekutif Urbanise, Norliza Hashim bercakap kepada media selepas majlis penutup Forum Pembandaran Lestari Asean (ASUF), Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF) serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Negara ASEAN (MGMAC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 OGOS 2025.

“Forum ini turut mencetuskan kepada keperluan untuk kita mempunyai satu badan atau rangkaian di peringkat ASEAN yang boleh menggabungkan bandar-bandar di rantau ini supaya kita semua boleh berkongsi pengalaman dan usaha baik yang diamalkan di negara masing-masing untuk dicontohi negara lain,” katanya.

Tahun depan, acara berprestij itu akan menyaksikan Manila, Filipina sebagai tuan rumah penganjurannya, sekali gus membuktikan komitmen berterusan ASEAN dalam memastikan pembangunan bandar yang inklusif, berfokuskan rakyat dan mampan dapat diwujudkan di rantau ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast