KUALA LUMPUR – Attana Hotels & Resorts Sdn. Bhd. (AHR) melakar sejarah apabila meraih enam anugerah berprestij di Anugerah Industri Pelancongan 2025 baru-baru ini sekali gus mengukuhkan kedudukan kumpulan ini sebagai salah satu penyedia hospitaliti terkemuka di Malaysia.
Ketua Pegawai Operasi AHR, Ron Hasni Yusoff berkata, pencapaian itu mengukuhkan kejayaan cemerlang AHR apabila mengulangi kejayaan di Anugerah Industri Pelancongan
2024 di mana kumpulan itu turut meraih enam anugerah utama.
Katanya, kemenangan dua tahun berturut-turut ini membuktikan usaha berterusan AHR dalam mengejar kecemerlangan, keupayaannya menyesuaikan diri dengan perubahan kehendak tetamu, serta komitmennya yang teguh untuk menyampaikan hospitaliti Malaysia yang direka khusus.
“Kami amat berbesar hati dan berasa terhormat kerana sekali lagi menerima pengiktirafan daripada pakar industri serta tetamu yang telah merasai pengalaman di hartanah kami.
“Anugerah ini mencerminkan dedikasi kami bukan sahaja sebagai kumpulan hotel kontemporari, pengendali resort dan kelab golf terkemuka, malah sebagai jenama hospitaliti yang komited untuk meningkatkan pengalaman tetamu dari tahun ke tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anugerah yang dimenangi AHR pada Anugerah Industri Pelancongan 2025 menerusi Attana Hotels & Resorts (AHR) iaitu Best Hotel Management Chain, Perdana Kuala Lumpur City Centre (Best Business City Hotel) dan erdana Kota Bharu iaitu Best East Coast Business Hotel.
Anugerah lain menerysi Espira Kinrara iaitu Best Urban Resort, Villea Port Dickson (Best Nature Family Resort) dan Kota Seriemas Golf & Country Club iaitu Best Tournament Golf Course.
Ron Hasni menambah bahawa pengiktirafan itu meraikan hotel, resort dan kelab golf yang konsisten memberikan pengalaman tetamu yang cemerlang sambil mengekalkan standard perkhidmatan yang tertinggi.
“Pengalaman hospitaliti Malaysia yang kami reka dari penginapan hingga sajian adalah keunikan yang membezakan kami.
“Identiti jenama AHR, yang diilhamkan daripada cahaya penunjuk arah, mencerminkan perpaduan dan semangat hospitaliti Malaysia yang sebenar.
“Kami kekal komited untuk menyediakan pengalaman autentik yang akan dikenang oleh tetamu kami,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pencapaian ini memberi semangat kepada kumpulan yang mengurus portfolio hotel, resort dan kelab golf bernilai lebih RM800 juta untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan, di samping mengukuhkan agenda kelestarian melalui program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR), Sayang Earth.
Melalui CSR itu, Attana memperjuangkan inisiatif alam sekitar dan komuniti berdasarkan empat teras – Gaya Hidup Sihat; Guna Semula, Kitar Semula & Kurangkan (3R); Selamatkan Planet dan Pembangunan Komuniti.
Sementara itu, Anugerah Industri Pelancongan ini dianjurkan bersama oleh Malaysia International Tourism Development Association (MiTDA), Tourism Selangor dan Santai Travel Magazine, dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Malaysia dan Visit Malaysia 2026. – MalaysiaGazette
















