Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri melahirkan rasa dukacita dengan budaya melampau daripada buli kepada kematian dan terkini serangan jenayah membabitkan anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menghubungi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail agar menyiasat kedua-dua insiden itu dengan telus dan rapi.

“Saya berasa dukacita kerana sudah ada budaya agak melampau dalam negara kita selain daripada buli, kemudian kematian dan kini anak Ahli Parlimen Pandan menerima serangan.

“Saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis untuk meneruskan siasatan yang telus dan rapi kerana budaya ini sangat membimbangkan,” katanya pada sesi soal jawab Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Semalam media melaporkan anak lelaki Rafizi diserang secara tiba-tiba ketika bersama isterinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya kira-kira pukul 1.45 tengah hari.

Perdana Menteri juga memberi jaminan untuk membendung budaya tidak sihat itu di samping tindakan tegas daripada pihak berkuasa.

“Saya beri jaminan bahawa apa yang disebut oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara bahawa mereka akan bertindak segera, pantas dan secara yang telus.

“Bukan sahaja mengambil tindakan tetapi menghentikan budaya jahat ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast