LONDON – bola sepak terkenal dunia, Cristiano Ronaldo akhirnya melangkah ke fasa baharu apabila dilaporkan sudah melamar kekasihnya iaitu Georgina Rodriguez selepas sembilan tahun bersama.
Pasangan sensasi itu pertama kali bertemu di butik Gucci pada 2017 sebelum menjalinkan hubungan cinta.
Namun Georgina menerusi laman media sosial memuat naik sekeping foto tangannya bersama cincin pertunangan yang diberikan bintang Al-Nassr tersebut di mana mereka kini hidup bahagia memiliki lima anak.
Pasangan itu mempunyai dua orang anak perempuan iaitu Alana, 7, dan Bella, 3, manakala abang kembar Bella, Angel, meninggal dunia ketika dilahirkan.
Georgina juga membantu membesarkan tiga lagi anak Ronaldo iaitu Cristiano Jr, 15, serta pasangan kembar Mateo dan Eva Maria, masing-masing berusia lapan tahun.
Sementara itu, memetik laporan media luar, pakar barang kemas ternama, Maggi Simpkins menganggarkan nilai cincin pertunangan Georgina itu mencecah antara AS$2 juta hingga AS$4 juta (RM9.3 juta hingga RM18.6 juta).
Simpkin yang pernah menghasilkan cincin bernilai jutaan dolar percaya berlian potongan bujur itu mempunyai berat antara 25 hingga 30 karat, jauh lebih besar berbanding cincin pertunangan biasa yang lazimnya hanya satu hingga dua karat.
Menurutnya, harga sebenar sukar ditentukan kerana bergantung kepada kualiti batu permata, malah anggaran tersebut belum mengambil kira dua batu berlian kecil yang mengapit berlian utama bersaiz gergasi itu.
Biarpun nilainya mencecah RM19 juta, sesetengah warganet melihat harga cincin itu tidak terlalu mahal jika dibandingkan dengan pendapatan diperoleh Ronaldo di kelab gergasi Arab Saudi iaitu Al-Nassr.
Pada Jun lepas, pemain berusia 40 tahun itu menandatangani kontrak paling lumayan dalam sejarah sukan dengan perjanjian baharu bernilai 492 juta pound (RM2.86 bilion) untuk tempoh dua tahun.
Bekas bintang Manchester United berkenaan akan kekal bersama Al-Nassr untuk tempoh dua tahun lagi, dengan difahamkan Ronaldo akan menerima gaji asas mencecah 488,000 pound (RM2.83 juta) sehari.
Bekas penyerang Real Madrid itu juga turut ditawarkan kemewahan lain untuk menjadi duta bagi kelab Arab Saudi itu dan pendapatannya mampu mencecah hingga RM3 bilion untuk dua tahun akan datang. – Agensi















