PASIR GUDANG – Bayi lelaki yang dilahirkan di tepi jalan raya berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Bukit Dahlia di sini Ahad lalu sihat dan tidak terkena sebarang jangkitan.
Menurut ibu bayi berkenaan yang berusia 30-an berasal dari Sabah mengakui masih trauma dengan kejadian tersebut namun bersyukur kerana selamat.
Dia yang sudah tinggal di Johor Bahru sejak hampir setahun memberitahu, bayinya masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru dan sudah diberikan diberikan antibiotik bagi mengelakkan jangkitan kuman.
“Berat bayi saya adalah 2.63 kilogram dan masih di HSI. Kami masih belum memberikan nama kepada cahaya mata kami,” katanya ketika dihubungi.
Wanita itu yang enggan dikenali masih terkejut selain masih belum stabil dari segi emosi.
Ahad lalu, wanita berkenaan yang sarat mengandung sedang menaiki motosikal tiba-tiba mengalami sakit mahu bersalin.
Dia kemudian duduk di tepi jalan dalam keadaan hujan kerana tidak tahan menahan kesakitan sebelum dibantu orang ramai.
Pengguna jalan raya memberikan kain dan payung bagi menutup aurat dan melindunginya sebelum beberapa wanita membantunya bersalin.
Peristiwa itu menjadi tumpuan ramai kerana seramai tujuh wanita berbilang bangsa membantu wanita tersebut menjadi ‘bidan terjun’.
Bayi tersebut kemudian lahir dalam masa antara pukul 2 hingga 3 petang sebelum ambulan sampai untuk membawanya ke HIS.- MalaysiaGazette
















