Havoc Food Festival (HFF) diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records.

KUALA LUMPUR – Havoc Event & Management Sdn. Bhd. mengukir pencapaian bersejarah apabila Havoc Food Festival (HFF) diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Largest Food Festival Tour Malaysia selepas berjaya menjelajah ke semua 14 negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Perlis menjadi destinasi penutup siri jelajah penuh warna-warni dengan majlis penganugerahan berlangsung meriah di Dataran D, Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra.

Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Event & Management Sdn. Bhd., Datuk Firdaus Nadxaman berkata, kejayaan itu hasil dedikasi seluruh pasukan Havoc, vendor, artis, pihak berkuasa tempatan, rakan kerjasama dan jutaan pengunjung yang hadir di setiap lokasi.

Kata beliau, HFF bukan sekadar tentang makanan namun ia tentang komuniti, kebersamaan dan meraikan kepelbagaian rasa Malaysia.

“Pengiktirafan ini membuktikan kekayaan budaya kulinari negara dan kami berbangga menjadi pemacu utamanya.

“Dengan pengiktirafan ini, HFF bukan sahaja mencatat sejarah baharu, malah menetapkan penanda aras baharu bagi penganjuran festival makanan berskala mega di Malaysia sekaligus menjadi inspirasi kepada penganjur lain untuk terus mengangkat industri kulinari tempatan ke pentas dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Havoc Food Festival berjaya menjelajah ke semua 14 negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Lebih daripada sekadar pesta makanan, HFF menjadi platform berimpak tinggi untuk para usahawan mempromosikan jenama, meningkatkan jualan dan mengembangkan rangkaian perniagaan.

Pada masa yang sama, HFF turut merancakkan ekonomi setempat dan sektor pelancongan, seiring usaha menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.

Firdaus menambah, pencapaian utama HFF apabila berjaya menarik lebih 18 juta pengunjung sepanjang siri jelajah dan menghimpunkan 300 usahawan dan selebriti dari pelbagai latar belakang.

“Selain itu, acara ini turut mepersembahkan hidangan warisan setiap negeri serta menu viral terkini, menyediakan zon mesra keluarga, persembahan artis popular dan pameran usahawan mikro perusahaan kecil dan sederhana

“HFF telah menjelajah ke semua negeri di Malaysia menjadikan ia satu-satunya festival makanan bersiri terbesar pernah diadakan di negara ini dan penghargaan khas diberikan kepada penaja rasmi, Perfume Paradise di atas komitmen dan sokongan padu sepanjang siri jelajah ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast