Amirul Syahir.

SUNGAI PETANI – Budaya buli di sekolah bukan lagi isu terpencil tetapi ia merupakan ancaman besar kepada masa depan negara,” tegas Pertubuhan Aman Kebajikan Ummah (PAKU).

Pengerusinya, Amirul Syahir Musa berkata, sudah tiba masanya kerajaan bertindak tanpa kompromi terhadap pelaku termasuk mengenakan hukuman paling berat mengikut undang-undang.

“Perbuatan buli sama ada secara fizikal, lisan atau di media sosial adalah jenayah moral yang memusnahkan kehidupan mangsa dan merosakkan nilai masyarakat.

“Masalah buli tidak boleh dipandang sebagai isu sekolah semata-mata, sebaliknya ia adalah isu kemanusiaan.

“Kes buli memerlukan tindakan bersama seluruh masyarakat untuk membina generasi yang lebih beradab, berempati dan berdisiplin,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, PAKU komited bekerjasama dengan kerajaan, Kementerian Pendidikan (KPM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat untuk semua pelajar.

Beliau turut menggariskan lima langkah pencegahan utama, termasuk penguatkuasaan undang-undang dan peraturan sekolah, peluasan pendidikan nilai serta empati, memperkukuh kerjasama NGO dan komuniti, meningkatkan perkhidmatan kaunseling, dan melaksanakan kempen kesedaran berskala nasional.

“Kita tidak mahu ada lagi mangsa yang trauma seumur hidup kerana kegagalan kita bertindak. Masyarakat tidak boleh berdiam diri, sebaliknya perlu melaporkan sebarang kejadian buli kepada pihak berwajib demi membanteras budaya ini secara tuntas.

“Memerangi buli adalah tanggungjawab bersama dan kegagalan bertindak hanya akan mengorbankan masa depan generasi muda negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast