Seramai 10 suspek termasuk lima pegawai tentera dibawa SPRM untuk permohonan reman berkaitan kes bersekongkol dengan sindiket penyeludupan senjata sejak lima tahun lalu dan dipercayai mengumpulkan hasil rasuah melebihi RM3 juta di Mahkamah Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Penahanan lima anggota perisikan tentera yang disyaki terbabit bersekongkol dengan sindiket membawa masuk barangan larangan seperti dadah, tidak akan menjejaskan operasi ketenteraan negara.

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, ini kerana tempat mereka yang juga anggota Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO)  telah pun digantikan serta-merta.

“Kita tiada kompromi dari segi operasi, lima anggota itu hanya ditahan. Kami boleh gantikan mereka dan (pegawai pengganti) teruskan tugas yang ditinggalkan. Tiada sebarang isu di lapangan.

“Saya yakin Pengarah MDIO, Leftenan Jeneral Datuk Razali Alias, maklum perkara ini, dan beliau akan melaksanakan tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau dipetik sebagai berkata Berita Harian, ketika ditemui pada Majlis Pemasyhuran Hall of Fame Yang Pertama Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di MKN hari ini.

Tambah Nizam, pihaknya akan memastikan ketelusan dalam siasatan SPRM berhubung kes tersebut.

“Sejak awal, kenyataan pertama saya semalam ialah kami akan beri kerjasama penuh kepada SPRM dalam menangani isu ini,” tambah beliau.

Sebagai rekod, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yakin bahawa kebocoran maklumat keselamatan sulit yang dipercayai berpunca daripada lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan semalam ditangani dengan penahanan kesemua individu berkenaan.

Siasatan awal mendapati mereka membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket untuk membawa masuk barangan larangan seperti dadah, rokok dan lain-lain dari negara jiran ke Malaysia.

Kelima-lima individu itu termasuk berpangkat Leftenan Kolonel ditahan di sekitar Lembah Klang dalam satu operasi khas SPRM yang dinamakan Op Sohor, kerana dipercayai membocorkan maklumat kepada sindiket penyeludupan di perairan Selat Melaka hingga Johor. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Sindiket penyeludupan didalangi pegawai kanan tentera tumpas

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast