Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Masa menjadi faktor penentu kepada seseorang dijangkiti atau tidak jika tercucuk jarum atau terkena cecair yang disyaki mengandungi penyakit seperti HIV, Hepatitis B atau Hepatitis C.

Menurut Facebook Public Health Malaysia, bagi petugas kesihatan dan pekerja berisiko, kemalangan di tempat kerja boleh berlaku pada bila-bila masa termasuk tercucuk jarum atau terkena cecair yang disyaki mengandungi penyakit berjangkit.

Langkah pertama yang diambil oleh seseorang akan membezakan antara selamat atau terdedah kepada jangkitan.

“Jika kejadian berlaku, hentikan kerja serta-merta. Basuh kawasan yang terdedah dengan air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya lima minit.

“Untuk mata yang terkena percikan, bilas dengan air bersih atau larutan saline sekurang-kurangnya 15 minit. Elakkan memicit luka terlalu kuat, biarkan sedikit darah keluar secara semula jadi,” katanya dalam perkongsian.

Langkah seterusnya yang perlu diambil adalah membuat laporkan segera kepada penyelia dan isi borang insiden mengikut protokol tempat kerja.

Kemudian dapatkan penilaian risiko daripada pegawai perubatan kerana ia penting untuk menentukan sama ada mereka yang mengalami insiden itu memerlukan rawatan pencegahan.

Sementara itu, bagi risiko HIV pula salah satu rawatan utama ialah Post-Exposure Prophylaxis atau PEP yang merupakan kombinasi ubat antiretroviral bagi mengurangkan risiko jangkitan.

PEP bukan vaksin tetapi bertindak menghalang virus daripada membiak dalam badan dan ia perlu dimulakan secepat mungkin dan tidak melebihi 72 jam.

Rawatan ini diambil selama 28 hari tanpa berhenti dengan pemantauan kesihatan berkala untuk memantau sebarang kesan sampingan serta memastikan kemujaraban ubat terbabit.

“Jangan abaikan pemeriksaan susulan. Ujian darah berkala pada minggu ke-6, ke-12, dan ke-24 penting untuk memastikan tiada jangkitan lewat dikesan.

“Sementara itu, dapatkan juga sokongan kaunseling kerana insiden seperti ini boleh memberi tekanan emosi kepada petugas. Ingat, setiap detik penting,” katanya.

Tindakan segera bukan sahaja melindungi kesihatan tetapi juga keselamatan pesakit dan rakan setugas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast