KUANTAN – Stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Maran berpotensi dibangunkan sebagai pusat pengumpulan mineral seperti bauksit, emas, silika dan bijih besi.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia merupakan potensi pembangunan industri yang dikenal pasti kerajaan negeri di lokasi tersebut.
“Selain itu Stesen ECRL Maran juga akan turut diketengahkan dalam kluster industri pemprosesan dan pembungkusan minyak sawit berikutan lokasinya yang strategik.
“Bagi Stesen ECRL Bentong pula akan dihubungkan dengan Kawasan Perindustrian Bentong yang dibangunkan secara berfasa (438 ekar) di mana ia akan memfokuskan kepada industri berat dan sederhana yang berpotensi memanfaatkan kemudahan logistik ECRL untuk pengangkutan dan akses pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Rizal Jamin pada Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-4 DUN Pahang Ke-15, di Wisma Sri Pahang hari ini.
Dalam soalannya, Rizal bertanyakan perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan pusat atau taman industri sepanjang jajaran ECRL dan jenis industri yang telah dikenal pasti berpotensi dibangunkan.
Tambah Wan Rosdy, Stesen ECRL Temerloh yang dibangunkan adalah berhampiran dengan beberapa kawasan perindustrian sedia ada seperti Kawasan Perindustrian Temerloh, Songsang dan Kampung Sempadan.
Jelasnya, kawasan itu telah dikenalpasti untuk pembangunan pelbagai jenis industri termasuk industri perabot dan pemprosesan dengan potensi sebagai nod logistik wilayah tengah.
“Stesen ECRL Paya Besar akan menjadi tumpuan pembangunan industri berimpak tinggi menerusi tiga kawasan utama iaitu Pahang Technology Park (PTP), Gambang Halal Park (GHP) dan Kompleks Makanan Halal/Bengkel IKS.
“Pembangunan di kawasan ini menyasarkan industri ringan, sederhana dan berat serta telah pun dilengkapi dengan kemudahan infrastuktur asas,” katanya lagi.
Stesen ECRL KotaSAS pula akan menyokong perancangan pembangunan di KotaSAS meliputi pusat pertumbuhan perbandaran baharu, perumahan bersepadu dan mampu milik serta pusat komersial dan perniagaan moden.
Stesen itu juga terletak berhampiran Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) yang akan menjadi nadi pentadbiran baharu Negeri Pahang.
“Stesen ECRL Kuantan City Port pual akan menjadi hub logistik utama yang menghubungkan ECRL ke Pelabuhan Kuantan melalui laluan tambahan (spur line).
“Stesen ini akan menyokong pembangunan kawasan perindustrian seperti Gebeng, MCKIP dan MCKILP yang memfokuskan industri berat termasuk petrokimia, O&G dan pembuatan berskala besar,” tambah Wan Rosdy.
Sementara itu, beliau berkata, Stesen ECRL Cherating dilihat mampu menyokong pembangunan pelaburan dalam sektor pelancongan pesisir pantai, hospitaliti dan ekopelancongan dan berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi tempatan melalui pelancongan Cherating. – MalaysiaGazette















