KUANTAN – Pembangkang terkilan Perancangan Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025-2030 (PET30) tidak dibahaskan secara menyeluruh pada Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-4 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 hari ini.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Andansura Rabu berkata, perbincangan mendalam mengenai PET30 penting dan bukan hanya membangkitkan tujuh perkara teras transformasi ekonomi negeri secara umum.
“Apa yang kita minta supaya perancangan ekonomi ini perlu dilihat secara menyeluruh dan dibentangkan dalam dewan sepertimana Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dibahaskan oleh ahli-ahli parlimen.
“Kita di peringkat negeri ni, perancangan ekonomi negeri perlu juga dibahaskan di dewan negeri supaya ahli-ahli dewan pun dapat faham apa hala tuju ekonomi negeri Pahang dan selari dengan RMK-13.
“Itu yang kita rasa agak terkilan dengan keadaan dan pengendalian ini dan kita tidak dimaklumkan diberikan peluang untuk berbahas,” katanya ketika ditemui selepas persidangan DUN Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Andansura berkata, sidang dewan seharusnya digunakan sebaik mungkin bagi membincangkan perancangan kerajaan negeri dengan lebih mendalam bagi mengelakkan projek-projek yang dilaksanakan daripada tegendala berikutan tidak selari dengan RMK yang dibentangkan.
Tambahan pula, kata ADUN Beserah itu, pembentangan Belanjawan Negeri Pahang dijangka diadakan pada hujung tahun ini dan tidak ada lagi ruang bagi tujuan perbahasan selepas ini.
“Kalau kita ambil masa dua ke tiga hari sidang ini, hujung tahun (biasa) bajet dan pertengahan inilah sepatutnya digunakan sebaik mungkin untuk membincangkan perancangan kerajaan negeri,” katanya.
Menyentuh mengenai seruan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail supaya semua pihak bersatu untuk membangunkan negeri, Andansura berkata, pembangkang menyambut baik seruan itu, namun ia perlu disertai tindakan yang selari.
“Kita diminta bekerjasama membina negeri, tetapi dalam masa sama, tindakan mereka berlawanan.
“Banyak sekatan dikenakan kepada kami, peruntukan tidak diberikan, surau dan masjid tidak dibenarkan masuk untuk program, sekolah kami tidak boleh masuk.
“Semua ini menunjukkan seruan itu tidak selari dengan tindakan,” jelasnya.
Sebagai rekod, pada 24 Jun lalu, Wan Rosdy memaklumkan Pahang akan melaksanakan PET30 bagi mentransformasikan ekonomi menyeluruh berasaskan kekuatan sumber negeri, realiti semasa pasaran global dan aspirasi rakyat.
Beliau berkata, PET30 dibina berasaskan tiga paksi utama iaitu kesejahteraan rakyat, tanggungjawab terhadap alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi yang dipacu sektor swasta.
Pelan induk itu juga katanya akan terus memastikan pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar, kawasan Felda, kampung Orang Asli dan komuniti pedalaman dengan keutamaan diberikan kepada akses air bersih, pendidikan berkualiti, perumahan selesa serta liputan digital. – MalaysiaGazette















