MUAR – Seorang pengamal perubatan tradisional kerugian RM180,066 selepas diperdaya wanita yang menawarkan palaburan matawang digital dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhhliz Azman Aziz berkata, mangsa yang merupakan seorang lekaki tempatan berusia 49 tahun pada mulanya dihubungi suspek.
“Seorang wanita menghubunginya melalui Whatsapp dan menawarkan pelaburan bitcoin dengan pulangan keuntungan antara 20 hingga 40 peratus.
“Mangsa kemudian diarahkan mendaftar dalam sebuah laman web pelaburan dan berhubung dengan seorang pegawai khidmat pelanggan untuk memukakan pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa kemudian membuat lima traksaksi ke dalam dua akaun berbeza dari 8 hingga 12 Ogos lalu dengan keseluruhan berjumlah RM180,066.
Mangsa katanya, diminta membuat pembayaran tambahan sebelum wang tersebut dapat dikeluarkan.
Menurutnya, mangsa yang mula curiga menyedari dirinya sudah ditipu dan pelaburan dibuat itu adalah hasil wang simpanannya sendiri.
Raiz Mukhliz berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan denda.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan sebarang tawaran pelaburan atas talian yang menjanjikan pulangan tidak munasabah serta sentiasa mengikuti nasihat dalam Facebook, Instagram, Tik Tok Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) bagi mendapat maklumat berkaitan modus operandi digunakan scammer.- MalaysiaGazette
















