KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan, pergerakan isteri dan anaknya dikesan sebelum serangan dilakukan individu tidak dikenali di sebuah pasaraya, semalam.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kemungkinan itu jelas kerana beliau dan keluarganya baru berpindah ke rumah lain.
“Kemungkinan ini jelas kerana pergerakan isteri saya dikesan dan saya baru pindah rumah, tak ramai tahu di mana saya tinggal sekarang.
“Pergerakan isteri saya tiada siapa pun tahu, saya pun tak tahu, kita (suami isteri) tak berkongsi, sebab dia ada pemandu, saya pun ada pemandu saya.
“Saya pergi dengan rutin saya, dia pergi dengan rutinnya. Saya pun tak tahu pergerakan isteri dan anak saya,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Semalam, media melaporkan anak lelaki kepada bekas Timbalan Presiden PKR itu diserang secara tiba-tiba ketika bersama isterinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya kira-kira 1.45 tengah hari.
Selain itu, kata Rafizi, besar kemungkinan pergerakan isteri dan anaknya diawasi pihak tertentu lebih awal, sekurang-kurang dua hingga tiga hari sebelum serangan itu dilakukan.
“Besar kemungkinan memerlukan pengawasan dua ke tiga hari untuk tahu masa dengan tepat bila isteri saya keluar, jalan and betul-betul masa nak buka pintu (kereta).
“Jadi saya fikir ia telah dilakukan secara profesional. Walaupun saya ingat ugutan itu hanya datang semalam tapi maksudnya pra-perancangan akan dilakukan beberapa hari, CCTV semua ada,” katanya.
Katanya lagi, ketika kejadian, ramai orang termasuk polis bantuan berada di lokasi yang menyaksikan insiden itu berlaku.
“Kita kena serahkan kepada pihak polis kerana pelaku memakai serba hitam dari kasut sampai visor semua.
“Kita tak boleh nampak muka dia, macam drama Korean,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
‘Diam.. Andai teruskan AIDS’ antara mesej ugutan diterima isteri Rafizi
















