Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar

SHAH ALAM – Polis memulakan siasatan berhubung ancaman yang diterima isteri bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menerusi dua mesej WhatsApp daripada nombor tidak dikenali, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.

Oleh yang demikian, Shazeli meminta Rafizi membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan rasmi dijalankan berdasarkan maklumat yang diberikan.

“Setakat sehingga petang ini, belum lagi laporan dibuat. Mungkin selepas ini akan ada laporan seterusnya. Polis akan menyiasat pemilik nombor telefon terbabit.

“Sebarang perkembangan terkini kita akan maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media hari ini.

Di Dewan Rakyat hari ini, Rafizi mendakwa keluarganya menerima mesej ugutan selepas anaknya diserang di sebuah pusat beli-belah, semalam.

Menurutnya, mesej itu diterima sebanyak dua kali daripada nombor sama berbunyi, “Diam, kalau tidak AIDS”.

Mesej pertama diterima pada pukul 1.12 pagi manakala mesej kedua pada 11.02 pagi disertakan ikon gambar picagari.

Sementara itu, mengenai perkembangan siasatan insiden suntikan terhadap anak Rafizi, Shazeli berkata, pihaknya sedang berusaha mengenal pasti sama ada suspek masih berada di negara ini.

Shazeli bagaimanapun berkata, identiti suspek belum dapat dikenal pasti kerana dia memakai topi keledar dan menutup muka dengan visor.

“Belum dapat ditentukan (kedudukan suspek). Kita melihat dari pelbagai sudut sebab belum ditentukan siapa suspek.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek memakai topi keledar dan menutup visor. Jadi macam mana kita hendak dapat iras muka, melainkan kalau ada maklumat tambahan baharu, insya-Allah kita akan usahakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast