SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kawalan keselamatan tambahan diberikan kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan keluarganya susulan insiden serangan terhadap anaknya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, langkah itu sudah dilaksanakan namun tidak dapat didedahkan secara terperinci demi keselamatan.
“Ada (kawalan keselamatan tambahan) tapi saya tak boleh dedahkan… nanti orang akan tahu tentang keselamatan itu. Memang ada, di bawah kawalan pihak polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Mengulas mengenai siasatan, Shazeli memaklumkan pihak hospital telah mengambil sampel darah kanak-kanak berusia 12 tahun itu untuk dianalisis bagi mengesahkan jenis cecair yang disuntik.
“Pihak hospital sudah mengambil sampel darah dan sedang menguruskan untuk dibuat analisa. Jadi kita tunggu keputusan,” katanya.
Beliau berkata, keadaan mangsa kini stabil dan tidak mengalami sebarang komplikasi.
“Setakat ini tak ada masalah. Doktor memberi jaminan tiada yang membimbangkan. Keadaan kanak-kanak tersebut adalah baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shazeli berkata, polis masih mengesan picagari yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut.
“(Picagari) tidak ditemui di tempat kejadian. Kita masih melihat pelbagai aspek untuk menentukan siapa lagi suspek. Setakat ini yang dikenal pasti adalah sebuah motosikal,” jelasnya.
Media sebelum ini melaporkan kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang semalam namun mangsa tidak mengalami kecederaan fizikal. – MalaysiaGazette
















