Home Nasional Tuntutan palsu: Penjawat awam, enam kontraktor direman lima hari

Tuntutan palsu: Penjawat awam, enam kontraktor direman lima hari

MELAKA – Seorang penjawat awam dan enam kontraktor direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh, bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas disyaki mengemukakan dokumen palsu berkaitan pembekalan perkhidmatan makan dan minum berjumlah RM139,100 tahun lalu.

Perintah reman terhadap suspek masing-masing empat lelaki dan tiga wanita berusia antara 32 dan 52 tahun itu dikeluarkan Majistret N.Sivashangari sehingga 18 Ogos ini.

Terdahulu, kesemua suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 9.15 pagi tadi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, kesemua suspek ditahan antara pukul 11.24 pagi dan 12.05 tengah hari semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.

Ia selepas mereka dipercayai terlibat mengemukakan dokumen kerja membabitkan enam syarikat berbeza bagi memperoleh tuntutan pembekalan perkhidmatan makan dan minum berjumlah keseluruhan RM139,100 sedangkan pembekalan tersebut tidak pernah dilaksanakan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan reman tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast