Suspek dan dua mangsa terpaksa ditidurkan kerana melecur teruk akibat terbakar dan kini ditempatkan di HEBHK, Kluang

KLUANG – Seorang lelaki melecur selepas cuba membunuh teman wanitanya dengan membakarnya hidup-hidup berhampiran Plaza Tol Simpang Renggam, Simpang Renggam dekat sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 5.46 pagi sebelum seorang pemandu bas pekerja membuat laporan polis hampir 15 minit kemudian.

“Laporan polis berkenaan adalah berkaitan cubaan membunuh diri menggunakan bahan api petrol. Suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun mulanya datang dengan sebuah kereta.

“Dia kemudian bertindak menarik seorang wanita tempatan berusia 37 tahun iaitu teman wanitanya keluar dari bas pekerja dan masuk dalam kereta tersebut.

“Mangsa kemudian keluar kereta dan suspek menyimbah petrol ke atas badan mangsa dan kemudian ke atas badannya sendiri sebelum menyalakan pemetik api untuk membakar badan mangsa dan badan suspek sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kemudian datang seorang lagi lelaki tempatan yang cuba membantu mangsa turut mengalami kecederaan melecur di bahagian tangan dan kaki.

Menurutnya, suspek dan kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini pukul 6 pagi untuk mendapat rawatan kerana melecur pada tubuh badan.

Jelas beliau, suspek dan dua mangsa berkenaan terpaksa ditidurkan akibat kecederaan melecur yang teruk, kereta suspek pula terbakar pada bahagian pintu penumpang belakang sebelah kanan.

“Punca kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang 07-7784222,
07-7784256 (direct line), 07-7766822 (hotline) dan 014-3656822 (tablet DCC).- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast