Abdul Rasheed Ghaffour

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus pada suku kedua tahun ini didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.

Prestasi itu menyamai pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku pertama 2025.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, perbelanjaan isi rumah kekal mampan berikutan keadaan pasaran pekerja yang positif dan langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan termasuk semakan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam.

Menurut beliau, pengembangan pelaburan yang lebih kukuh disokong oleh pelaksanaan projek baharu dan sedia ada.

“Dalam sektor luaran, pertumbuhan eksport lebih perlahan disebabkan terutamanya oleh eksport berkaitan komoditi yang lebih rendah.

“Keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih teguh dan aktiviti pelancongan yang lebih giat.

“Pada masa sama, pertumbuhan import lebih tinggi, didorong oleh permintaan yang kukuh untuk barangan modal.

“Hal ini mencerminkan aktiviti pelaburan yang tinggi,” katanya ketika membentangkan prestasi ekonomi Malaysia bagi suku tahun kedua 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin.

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata, daripada segi penawaran, pertumbuhan didorong oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan.

Kata beliau, sektor perkhidmatan disokong oleh perkhidmatan berkaitan pengguna dan kerajaan.

Menurutnya, pertumbuhan yang stabil dalam kelompok
berorientasikan dalam negeri menyokong prestasi dalam sektor perkilangan.

“Secara keseluruhan, pertumbuhan terjejas oleh penguncupan dalam sektor perlombongan berikutan pengeluaran komoditi yang lebih rendah.

“Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, pertumbuhan berkembang sebanyak 2.1 peratus,” katanya.

Abdul Rasheed berkata, inflasi keseluruhan menurun kepada 1.3 peratus manakala inflasi teras kekal stabil pada 1.8 peratus.

Menurutnya, penurunan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh harga bahan api yang lebih rendah seperti petrol RON97 dan diesel dan peningkatan harga yang lebih perlahan bagi item berkaitan makanan khususnya makanan segar dan makanan di luar rumah.

“Keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh penurunan
harga yang lebih perlahan untuk perkhidmatan komunikasi mudah alih dengan purata sebanyak -12.1 peratus.

“Rebakan inflasi yang diukur berdasarkan bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan mengalami sedikit penurunan berikutan harga komoditi global yang lebih rendah.

“Namun begitu, kenaikan ini secara amnya kekal selaras dengan purata jangka panjang bagi suku kedua,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast